Bijak, Budak 8 Tahun Sesat Jalan Minta Bantuan Guna Mesin ATM
Tindakan pantas dan bijak seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun untuk mendapatkan bantuan selepas tersesat jalan meraih pujian warga maya.
Menurut SCMP, kanak-kanak berusia lapan tahun yang berasal dari Quzhou, di Zhejiang itu pada awalnya terpisah daripada datuknya ketika dalam perjalanan pulang dari kelas menari.
Kanak-kanak itu kemudian merasa cemas dengan situasi yang berlaku dan pada masa yang sama tidak mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi keluarganya.
Namun siapa sangka, kanak-kanak tersebut bertindak pintar apabila berusaha mendapatkan bantuan melalui kemudahan mesin pengeluaran wang (ATM) yang berada di kawasan berdekatan.
Menerusi rakaman CCTV di kemudahan berkenaan, kanak-kanak itu dilihat menekan butang panggilan kecemasan pada sistem interkom ATM itu.
Sistem berkenaan seterusnya menghubungkan kanak-kanak tersebut ke pusat kawalan bank.
Budak sesat jalan minta bantuan pihak berkuasa guna mesin ATM
Menurut SCMP lagi, seorang kakitangan yang bertugas di Bank Komersial Luar Bandar Quzhou telah menjawab panggilan kanak-kanak itu.
Dia kemudian menjelaskan situasi yang sedang dihadapinya dan kakitangan bank berkenaan terus menghulurkan bantuan.
“Adakah kamu mempunyai nombor telefon datuk kamu?” tanya kakitangan terbabit.
Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut tidak mempunyai nombor telefon datuknya selain turut tidak mengingati nombor telefon ahli keluarga yang lain.
Susulan itu, kakitangan terbabit melaporkan kejadian berkenaan kepada polis tempatan dan meminta mangsa untuk tidak meninggalkan lokasi ATM tersebut.
Anggota polis dari Biro Keselamatan Awam Daerah Kaihua tiba di ATM berkenaan tidak lama kemudian dan kanak-kanak itu akhirnya bersatu semula dengan datuknya.
Kisah kanak-kanak itu menjadi tular di media sosial dan menarik perhatian warga maya di sana. Rata-rata memuji kecerdasan kanak-kanak tersebut yang mampu memikirkan solusi pantas dalam situasi cemas.
ATM di sana dilengkapi dua butang kecemasan
Menurut akhbar tempatan, kebanyakan kemudahan ATM di Hangzhou telah dipasang dengan dua butang kecemasan iaitu butang panggilan kecemasan dan butan siren kecemasan.
Butang panggilan kecemasan seperti yang ditekan kanak-kanak itu menghubungkan sistem interkom kepada kakitangan yang bertugas di pusat kawalan bank.
Manakala butang siren kecemasan direka khas untuk menghantar isyarat pantas kepada balai polis terdekat sekiranya ada situasi tidak diingini berlaku di ATM tersebut.
BACA: Halang Gunung Fuji, Pemaju Akur Roboh Bangunan Kondo 10 Tingkat
BACA: Paling “Win”, Tema “Roadblock” Dengan Aksi Superman Naik RXZ Buat Netizen Terhibur
Sumber: South China Morning Post