Ibu Sebak Terima Skrol, Anugerah Konvokesyen Arwah Anak
“Ibu, konvokesyen adik nanti ibu datang tau,” – Itulah pesanan terakhir Muhammad Hassif Hamim Yaakob, seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, kepada ibunya sebelum beliau pergi buat selamanya akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.
Namun, takdir telah menentukan, beliau tidak sempat untuk menerima skrol diploma yang sepatutnya menjadi miliknya pada hari yang penuh bermakna itu.
Arwah Muhammad Hassif, 22, merupakan pelajar Diploma Teater dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, bukan sahaja bakal menerima skrol diploma tetapi juga dianugerahkan Anugerah Naib Canselor (ANC) sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99.
Kejayaan cemerlang ini menjadikan pemergiannya lebih pilu buat keluarga dan rakan-rakannya.
BACA: Isteri Derita Kanser ‘Pergi’ 2 Minggu Selepas Nikah, Suami Terjumpa Nota Pilu Tinggalan Arwah
Menurut penulis dari dari Unit Perhubungan Awam dan Media UiTM, Annisa’ Azlan, ibu arwah, Eeliani Noordin, bersama anak sulungnya, Mohamad Izzul Idlan Yaakob, tampil mewakili arwah untuk menerima skrol yang disampaikan oleh Pro Canselor, Datuk Abdul Wahab Aziz.
“Arwah meminta ibunya mengambil barang di kolej kediaman sebelum pulang ke rumah disebabkan sudah tamat pengajian dan sempat menghabiskan masa bersama-sama. Kemudian mendapat panggilan anaknya ditimpa kemalangan jalan raya.
“Ibu mana tidak sedih apabila hari yang sepatutnya menjadi hari gembira buat mereka sekeluarga menjadi hari paling memilukan.
“Bagaimanapun, Eeliani dan anaknya tetap menggagahkan diri untuk naik ke pentas dan terima skrol bagi pihak arwah,“ katanya pada Rabu.
Annisa’ juga berkongsi bahawa detik-detik terakhir bersama arwah akan terus tersemat dalam hati ibunya.
Tambahnya, arwah Muhammad Hassif dikenali sebagai seorang yang ceria dan sangat meminati bidang seni, khususnya teater.
Arwah juga bercita-cita untuk menjadi pengarah teater suatu hari nanti, impian yang kini hanya tinggal kenangan.
Bagi Mohamad Izzul, kehilangan adik tercinta adalah sesuatu yang sukar untuk diterima. Hubungan rapat antara tiga beradik ini dipenuhi dengan gurau senda dan kenangan manis yang kini hanya tinggal dalam ingatan.
“Hati sang ibu bertambah sedih apabila mengingati usaha dan kecekalan arwah untuk sampai ke tahap ini.
“Masih segar di ingatan, betapa hebatnya dia bertahan berbekalkan minat dan prinsip diri supaya tidak mudah berputus asa serta kekal rajin dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
BACA: Kereta Dipandu Kanak-Kanak 10 Tahun Terbabas, Langgar Van
BACA: Bijak, Budak 8 Tahun Sesat Jalan Minta Bantuan Guna Mesin ATM
Sumber: Sinar Harian