YouTuber ‘Mukbang’ Terkenal Turun Berat Badan 113Kg, Tampil Dengan ‘Wajah Baru’
YouTuber ‘mukbang’ terkenal, Nikocado Avocado, mengejutkan ramai apabila tampil dengan penampilan baru selepas berjaya turun berat badan sebanyak kira-kira 113 kg.
Nikocado, pemuda keturunan Ukraine-Amerika, mula dikenali dengan video mukbang yang dikongsikannya di YouTube, di mana dia memakan makanan dalam kuantiti yang besar.
Dia sering menggelar dirinya sebagai “Raja Mukbang” dan menarik perhatian dengan gaya pemakanan yang luar biasa, dan mungkin ‘mengejutkan’ ramai pihak.
Para peminat yang mengikuti saluran Nikocado lazimnya menjangkakan video seterusnya akan memaparkan dia menyantap hidangan makanan dalam kuantiti yang banyak, seperti kebiasaannya.
Namun, dalam video terbarunya bertajuk “Two Steps Ahead”, yang dimuat naik pada Jumaat, dia tampil berbeza daripada jangkaan peminat.
Dalam video tersebut, Nikocado memulakan dengan memakai kostum kepala panda, tetapi ia bukanlah sekadar video mukbang seperti yang sering dilakukan.
Kali ini, dia mendedahkan bahawa beberapa videonya yang lalu sebenarnya adalah sebahagian daripada apa yang disebutnya sebagai “eksperimen sosial terbesar dalam hidupnya”.
Selepas menanggalkan kostum kepala panda itu, dia mempamerkan penampilan baru dengan berat badan yang jauh lebih ringan berbanding sebelumnya.
Berbeza dari video yang lalu, video mukbang kali ini tetap memperlihatkan Nikocado menyantap makanan dengan kuantiti yang baik, tetapi dia tidaklah terlalu ‘agresif’ seperti dahulu.
Untuk info, Nikocado sebelumnya pernah mengakui bahawa berat badannya mencecah 359 paun (162 kg).
Kini, dia berjaya mengurangkan sebanyak 113 kg, suatu pencapaian luar biasa yang mengejutkan ramai.
“Hari ini, saya bangun dari mimpi yang panjang, dan saya juga bangun setelah kehilangan 250 paun (113 kg) dari badan saya.
“Namun, baru semalam, orang masih memanggil saya gemuk, sakit, membosankan, dan tidak relevan. Manusia memang makhluk yang pelik,” ujarnya dalam video itu.
Penurunan berat badan yang besar ini tentunya tidak berlaku dalam sekelip mata.
Dalam satu lagi video, Nikocado mengakui bahawa dia tidak menghasilkan kandungan video selama hampir dua tahun.
Ini memberi petunjuk bahawa sebahagian video yang dimuat naik mungkin telah dirakam lebih awal.
Namun, hanya Nikocado yang mengetahui secara pasti tempoh dan cara dia menurunkan berat badannya.
Apa yang dilihat di platform seperti YouTube tidak semestinya mencerminkan realiti
Di samping itu, Nikocado menggunakan video ini untuk mengetengahkan isu yang masih berleluasa dalam masyarakat, iaitu “fat shaming” atau mengejek seseorang kerana berat badan mereka.
Ini adalah masalah yang masih banyak berlaku, terutama di media sosial.
Stigma terhadap berat badan sering berpunca daripada salah faham bahawa obesiti hanya disebabkan oleh kekurangan kawalan diri, makan berlebihan dan kurang bersenam.
Ramai individu yang menghadapi masalah berat badan sebenarnya sangat menjaga pemakanan mereka dan menjalani gaya hidup yang disiplin.
Faktor seperti genetik, fisiologi, keadaan sosial, persekitaran dan ekonomi bagaimanapun turut mempengaruhi berat badan seseorang, tegas Nikocado.
Tambahnya, video mukbang hanyalah sebagai hiburan, dan tidak sepatutnya dijadikan rujukan bagi panduan pemakanan.
Selain itu, tidak semestinya individu dalam video tersebut memakan semua yang dipaparkan.
BACA: Atlet Powerlifting Mongolia Catat Sejarah Raih Pingat Dalam 3 Paralimpik Berturut-turut
BACA: Harimau Malaya Juara Pestabola Merdeka 2024
BACA: Tidak Mudah Menang Trofi, Kemenangan Perlu Diraikan – Pau Marti
Sumber: Forbes