Harimau Malaya Juara Pestabola Merdeka 2024
Harimau Malaya bergelar juara Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi.
Sejak awal permainan lagi, Harimau Malaya seakan memberi amaran awal dengan tekanan sejak tiupan wisel sepak bermula.
Beberapa asakan awal jelas menunjukkan keyakinan yang ditampilkan oleh anak-anak buah Pau Marti dengan hantaran pendek di celah-celah kaki pemain Lubnan.
Perkara itu menyukarkan pihak lawan yang lebih fokus kepada bertahan dan menunggu kesilapan Malaysia untuk serangan balas.
Akhirnya, gol pembukaan Harimau Malaya menjelma menerusi sepakan Romel Morales pada minit ke-32, meskipun berjaya ditanpan oleh penjaga gol Lubnan namun ia sudah cukup untuk meletakkan bola ke dalam gawang lawan.
Harimau “lapar” gol
Penguasaan tetap diteruskan oleh Harimau Malaya dengan beberapa serangan balas yang hampir menghukum pertahanan Lubnan hingga tamat 45 minit pertama.
Masuk sahaja babak kedua, Arif Aiman dan Akhyar Rashid dibawa masuk bagi menambah bisa di bahagian serangan depan skuad negara.
Pertukaran yang dilakukan oleh Pau Marti nyata memberikan impak segera dengan permainan pantas di bahagian sayap negara, apabila Akhyar mempunyai peluang keemasan untuk mencetak namanya sebagai penjaring pada malam ini namun digagalkan oleh penjaga gol.
Bagaimanapun, anak-anak buah Miodrag Radulović sekali-sekala turut menkucar-kacir pertahanan negara dengan serangan balas.
BACA JUGA: Lapan Negeri Dijangka Hujan Lebat Hingga Pagi Esok
Keadaan bertambah tegang apabila Lubnan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila Khalil Khamis dilayangkan kad merah pada minit ke-78.
Ia sekaligus merencatkan permainan pihak lawan termasuk insiden pergaduhan pada minit ke-83 selepas Syamer Kutty menjatuhkan pemain lawan.
Bagaimanapun, gol tunggal itu sudah cukup untuk membawa Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka edisi kali ini.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mencatatkan kemenangan ke atas Lubnan dalam dua perlawanan sepanjang pertemuan dengan negara itu sebelum ini.
Kemenangan ini mengakhiri kemarau 11 tahun piala Pestabola Merdeka yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada tahun 2013 selepas menundukkan Myanmar 2-0.
https://www.facebook.com/FAMalaysiaOfficial/posts/pfbid0jeV8VAC2saHtZfhs9aCaoE76X8GVzH8Fs9EvJkq671CX2UETYTD2ZzbG6UUs8Cxul