Saya Tidak Nampak Diri Saya Akan Ke LA 2028 Sebagai Atlet – Azizulhasni
Bayangan awal yang diberikan legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengenai status kariernya menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 semakin jelas menemui noktah.
Memetik Stadium Astro, beliau membuat keputusan untuk tidak beraksi namun bersedia menabur bakti terhadap pelapis muda negara agar misi emas Sukan Olimpik LA 2028 terus bersinar.
“Apapun, saya mahu pulang ke Melbourne untuk bersama keluarga saya dan berbincang mengenainya.
“Tetapi saya tidak nampak diri saya akan ke LA 2028 sebagai atlet.
“Saya tidak tahu, mungkin saya boleh cuba membantu Shah Firdaus (Sahrom, atlet berbasikal trek negara) dan adiknya, Ridwan, apa sahaja yang saya boleh untuk tolong mereka.
“Tetapi LA sudah pasti tidak untuk saya,” katanya menerusi laporan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Kenyataan yang dilontarkan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 202o itu merupakan gambaran jelas perancangan mengenai masa depannya meskipun belum mengumumkan secara rasmi persaraannya.
BACA JUGA: Planet Zuhal Dan Bulan-bulannya Boleh Dilihat Di Langit KL Bermula Malam Ini
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Meet & Greet di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Putrajaya.
Selain berbincang bersama ahli keluarga, beliau turut mendapatkan pandangan jurulatihnya, John Beasley, sebelum keputusan muktamad diputuskan.
“Saya mahu berbincang dengan John dahulu, dengan YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk merancang masa depan saya.
“Sebab ada terlalu banyak tawaran, bukan sekadar di Malaysia, di luar juga ada.
“Tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan ke arah itu kerana saya juga masih 36 tahun,” katanya lagi.
Azizulhasni atau The Pocket Rocketman sebelum ini menamatkan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sebarang pingat selepas dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin atas kesalahan memintas derny terlalu awal di Veldrom Saint-Quentin-en-Yvelines bulan lalu.
Manakala rakan seperjuangannya Shah Firdaus berjaya melangkah hingga ke Final acara Keirin.
Sumber: Stadium Astro