Dilapor Hilang Ketika Jual Kuih, Gadis Ditemui Maut Dalam Keadaan Terikat
Indonesia – Seorang gadis berusia 18 tahun ditemui maut dalam keadaan terikat dan tanpa pakaian selepas dilaporkan hilang ketika keluar menjual kuih bergoreng di Padang Pariaman, Sumatera Barat, lapor detik.
Memetik Viva, mangsa juga ditemui dalam keadaan tertanam di dalam tanah.
Menurut kakak mangsa, adiknya keluar seperti biasa untuk menjual makanan bergoreng milik jiran mereka. Namun, mangsa disedari ibunya tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan.
“Namun pada hari itu, dia tidak pulang sehingga Maghrib. Ibu mula rasa bimbang dan tanya kepada saya tentang keberadaan adik. Namun saya jawab adik belum pulang,” katanya.
Ujarnya lagi, mangsa nekad mengumpul wang dari hasil jualannya untuk membeli komputer riba yang bakal digunakan ketika menyambung pengajian. Mangsa menerima upah dari setiap makanan bergoreng yang terjual dan hasilnya dikumpul sedikit demi sedikit.
BACA: Ulang Tahun Ke-25, “Rindu Kami Kepada Arwah Nurin Tak Pernah Padam” – Bapa
Menurutnya lagi, apabila adiknya tidak kunjung pulang, mereka sekeluarga keluar mencari mangsa.
“Kami bertanya kepada warga setempat, menurut mereka adik telah selesai menjual sejak jam 4 petang,” tambahnya.
Mengumpul dana untuk sambung belajar, remaja ditemui dibunuh ketika keluar menjual makanan bergoreng.
Ibu mangsa mengesahkan perkara berkenaan apabila ditemuramah wartawan.
“Dia jual kuih gorengan untuk pengajian. (Tempat) menjualnya jauh, biasanya (dia) pulang sebelum Maghrib,” kata ibunya.
BACA: Bayi Lelaki 30 Hari Meninggal Dunia Selepas Diberi Susu Di Pusat Jagaan Berpantang
Sebelum ditemui, mangsa dilaporkan hilang selama tiga hari. Mereka melakukan pencarian pada hari pertama dan kedua mangsa hilang. Pada hari ketiga, pasukan mencari dan menyelamat menemui barang-barang milik mangsa di semak berdekatan kawasan kali terakhir mangsa dilihat oleh saksi.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Padang Pariaman, Inspektor AA Reggy berkata siasatan sedang dijalankan dan pembunuh masih belum ditemui.
“Sehingga kini, kita telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menyoal siasat saksi terakhir yang melihat mangsa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pihak polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat.