Cubaan Seludup PATI, Tekong Bot Nekad Terjun Laut Lepas Langgar Bot APMM
Kuala Langat – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran kira-kira jam 1.50 pagi tadi.
Penahan tersebut dilakukan atas cubaan menyeludup keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, pihaknya menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang berkenaan satu sasaran mencurigakan dikesan bergerak laju di perairan Kuala Langat.
“Hasil maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 telah diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
BACA: Dilapor Hilang Ketika Jual Kuih, Gadis Ditemui Maut Dalam Keadaan Terikat
“Setiba di lokasi, pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu dan berlaku adegan kejar buru antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia selama 35 minit.
“Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan,” katanya.
Ujarnya lagi, anggota Maritim Malaysia berjaya menghentikan bot suspek dengan cekap. Hasil pemeriksaan, dua PATI wanita yang berusia 28 dan 45 tahun didapati berada di atas bot tanpa dokumen pengenalan diri.
BACA: Baru Beberapa Jam Naik Pangkat, Anggota APM Meninggal Dunia
“Bot fiber serta dua suspek terbabit telah ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” tambahnya lagi.
Kesemua suspek disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 berikutan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut Muhaimin, pihaknya akan sentiasa mengadakan pemantauan pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM). Hal ini untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut menerusi talian kecemasan NG999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-6606652.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
BACA: Taufan Yagi: Angka Kematian Semakin Meningkat, Penduduk Kini Bergelut Dengan Banjir