Siakap Keli

GISBH Nafi Tuduhan Terbabit Eksploitasi Kanak-Kanak, Didikan Songsang

Syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dalam satu kenyataan baru-baru ini menafikan syarikat mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja sebagaimana yang tular di sosial media baru-baru ini.

“Dengan ini kami menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kami sekali-kali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja.”, tulis kenyataan terbabit yang dimuat naik pada 11 September 2024 di laman Facebook rasmi milik mereka.

Tambah pihak GISBH lagi, tuduhan yang dilemparkan itu berniat jahat dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan itu tersebut.

“Isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISB Holdings Sdn Bhd. Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.

“Kami bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini.”, tulis kenyataan terbabit.

Dalam kenyataan berasingan, GISBH juga turut menafikan tuduhan bahawa kanak-kanak di rumah amal kendaliannya dididik cara meliwat dan diliwat. Malah menurut GISBH, rumah amal yang dinyatakan(terbabit dengan kes tersebut) jelas bukan dibawah kendaliannya.

“Ini juga merupakan tuduhan berat untuk menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekaligus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH. Kami yakin wujud pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi dan terancang bagi menjatuhkan imej dan perniagaan syarikat kami.

“Kami menafikan segala tuduhan tersebut kerana rumah amal yang dinyatakan itu jelas bukan di bawah kendalian GISBH. Juga, bukan menjadi dasar kami untuk merancang dan melaksanakan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan undang-undang negara. Sebaliknya GISBH sentiasa berusaha memastikan “Islam Sebagai Cara Hidup’ diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.”, tulis kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, GISBH juga berkata pihaknya akan membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang keatas pihak yang sengaja mencemarkan nama baik GISBH.

“Laporan polis akan dibut agar siasatan dilakukan dan pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang sengaja berniat jahat untuk mencemarkan nama baik GISBH.” katanya.

https://www.facebook.com/gisbhcom/posts/pfbid0zdh1y8gh8FvKXPFkSyUxQRL7xYFjiuDkngdXx3Ajn1UZEV3G5rujaXc4wqthMScpl

 

Sumber: GISBH, MG

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.