Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kanak-Kanak Enam Tahun Cipta Rekod Dunia Dengan Rubik Kiub

Kanak-Kanak Cipta Rekod Dunia
Kredit: CCTV Asia Pacific

Mencipta kejayaan pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila pencapaian itu berjaya melangkaui rekod yang pernah dibuat sebelum ini.

Apabila rekod dunia pula berjaya dipecahkan, pastinya momen tersebut menjadi antara pencapaian paling bermakna dalam hidup seseorang.

Kanak-Kanak Enam Tahun Cipta Rekod Dunia Dengan Kiub Rubik

Begitulah kisah seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Lian Yunzhi, 6, yang berjaya mencipta rekod dunia kerana berjaya menyelesaikan kiub Rubik 3x3 dalam masa lebih sedikit sahaja daripada empat saat.

Memetik media tempatan, CCTV, Lian berjaya memecahkan rekod dunia purata masa kategori wanita 3x3 sebanyak dua kali bulan ini, lapor AFP.

Rekod tersebut dipecahkan dalam dua kejohanan yang diiktiraf oleh World Cube Association (WCA), masing-masing berlangsung di Wuhan dan Guangzhou.

Lian mencatat purata masa 4.52 dan 4.27 saat, selepas menyelesaikan kiub Rubik itu sebanyak lima kali.

Kanak-kanak dari Chengdu itu juga menjadi wanita pertama 'speedcuber' yang berjaya menyelesaikan kuib Rubik di bawah 4.5 saat.

Dalam satu video yang dimuat naik CCTV, kelihatan kanak-kanak itu yang mengenakan reben merah di kepalanya ligat memusingkan kiub Rubik.

Selepas berjaya menyelesaikanya, Lian meletakkan kiub tersebut di atas meja sebelum bertepuk dan mengangkat tangannya ke udara sebagai tanda kegembiraan.

Menurut ibunya, Lin Yangxi, Lian yang mesra dipanggil “Zhizhi” mula mengenali kiub Rubik selepas mengikuti satu kelas ketika masih kecil, selain menyertai aktiviti lain seperti tarian dan muzik.

Dalam satu temu bual bersama Red Star News, Lin berkata dia kemudian menyedari bahawa kiub Rubik adalah aktiviti yang baik untuk membantu mengembangkan pelbagai kemahiran kanak-kanak, lalu mula memberi lebih tumpuan kepada aktiviti tersebut.

Lian kini sudah menguasai leboh daripada 1,300 algoritma untuk menyelesaikan kiub Rubik, di mana kanak-kanak itu berlatih setiap hari selama dua ke tiga jam, kata ibunya.

“Bermain kiub Rubik dapat membantu meningkatkan fokus, daya ingatan, pemikiran logik dan kesedaran ruang, selain membentuk sikap yang sihat dalam menghadapi kemenangan dan kekalahan,” kata Lin.

Tambahnya, kemahiran menyelesaikan kiub Rubik bukan sekadar menghafal pelbagai formula, sebaliknya memerlukan seseorang menggunakan pemikiran logik untuk mencari cara penyelesaian yang paling tepat.

Intipati
  • Lian Yunzhi mencipta rekod dunia purata masa wanita 3x3 dalam kiub Rubik.
  • Rekod itu dipecahkan dalam dua kejohanan WCA di Wuhan dan Guangzhou bulan ini.
  • Ibunya berkata Lian berlatih setiap hari dan menguasai lebih 1,300 algoritma.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan