Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Jujur Sedih Sangat...” Netizen Indonesia Luah Rasa Hiba Baca Hantaran AirAsia, Imbau Kenangan 'Terbang' Ke Luar Negara

Hiba baca hantaran AirAsia
Kredit: Bernama

Bagi sesetengah orang, penerbangan murah bukan sekadar membantu menjimatkan kos perjalanan, malah menjadi ‘jalan pertama’ untuk mereka merealisasikan impian menjejakkan kaki ke negara asing.

Perkara itu dapat dilihat menerusi reaksi netizen Indonesia selepas membaca hantaran terbaharu AirAsia yang menyentuh mengenai keadaan semasa syarikat penerbangan berkenaan.

AirAsia sebelum ini menegaskan komitmennya untuk terus mengukuhkan operasi dan kedudukan kewangan dengan mengawal kos, mengoptimumkan kapasiti serta armada, selain bersedia meningkatkan kapasiti menjelang musim perjalanan hujung tahun.

Hiba baca hantaran AirAsia

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen Indonesia meluahkan rasa sedih dan berharap AirAsia terus bertahan.

Malah, ada yang berkongsi pengalaman bagaimana tawaran tambang murah syarikat penerbangan itu pernah membuka peluang buat mereka melancong ke luar negara buat kali pertama.

“Everyone Can Fly” beri kenangan buat ramai orang

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @arvn_____, yang juga warga Indonesia, dia meluahkan rasa hiba selepas membaca hantaran terbaharu AirAsia tiga hari lalu.

“Jujur sedih banget baca postingan terbaru AirAsia. Semoga bisa bangkit, jangan sampai bangkrut. Beneran maskapai LCC terbaik, udah berkali kali kasih gw tiket murah keluar negeri. Please comeback stronger,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna @ramadahanaila pula menyifatkan AirAsia sebagai syarikat penerbangan yang benar-benar membantu merealisasikan impian ramai orang untuk terbang ke luar negara.

Menurutnya, slogan “Everyone Can Fly” bukan sekadar slogan, malah dekat dengan pengalaman peribadinya sebagai penumpang AirAsia.

“Airasia nih bener-bener mewujudkan cita-cita semua orang bisa terbang, everyone can fly. Jangan sampai collapse yaa AirAsia,” katanya sambil berkongsi bahawa dia baru sahaja menaiki penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur.

Dari ibadah umrah hingga Jepun, semua bermula dengan tambang murah

Bukan itu sahaja, seorang pengguna @nia_2280 turut berkongsi bagaimana promosi tambang murah AirAsia membolehkannya mengunjungi pelbagai destinasi yang sebelum ini mungkin hanya menjadi impian.

Menurutnya, promosi tiket murah termasuk tambang ‘free seat’ AirAsia pernah membawanya ke beberapa negara seperti China, Jepun, India, Singapura, Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.

“Aamiin, AirAsia can fly me beyond my dreams. Kalau tak kerana promo free seat AirAsia, mungkin saya tidak berpeluang menunaikan ibadah umrah, ke China, ke Jepun, ke India, Singapura, Kuala Lumpur dan negara-negara ASEAN,” katanya.

Dia turut menitipkan ucapan terima kasih kepada pengasas AirAsia, Tony Fernandes, serta seluruh pasukan syarikat penerbangan berkenaan sambil berharap AirAsia terus bertahan.

Pernah terbang ke London dan Paris dengan tambang murah

Sementara itu, seorang lagi netizen @firdaroya mengimbau kembali pengalaman menggunakan AirAsia ketika masih belajar di luar negara.

Katanya, dia pernah beberapa kali berulang-alik ke Kuala Lumpur dengan tambang serendah sekitar Rp300,000 dan berpeluang ke London serta Paris dengan kos penerbangan pergi balik yang jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.

“Dulu beberapa kali ke KL pergi balik cuma 300 ribu Rupiah, bahkan tahun 2009 pernah ke London cuma 4.5 juta pergi balik, kemudian tahun 2010 ke Paris bayar 5.4 juta pergi balik,” katanya.

Menurutnya, AirAsia antara syarikat penerbangan yang membuatkan impiannya untuk melancong ke luar negara menjadi kenyataan.

“Cuma AirAsia yang bisa make my dreams come true. Please semoga bertahan yaa AirAsia biar yang lain juga bisa mewujudkan mimpinya keluar negeri, atau terbang ke mana pun yang murah,” katanya.

Selain itu, terdapat juga netizen yang berharap AirAsia dapat menawarkan semula laluan Kuala Lumpur-Istanbul dengan tambang sekitar Rp2.2 juta kerana ia menjadi impian ramai pelajar dari Turkiye.

Melihat kepada komen-komen tersebut, jelas AirAsia bukan sekadar dikenang kerana tambang penerbangannya yang murah, malah turut mempunyai tempat tersendiri dalam memori sebahagian penumpang yang pernah menggunakannya untuk merealisasikan impian melancong ke luar negara.

Bagi mereka, AirAsia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang membuka peluang untuk melihat dunia dengan kos yang lebih mampu milik.

Daripada penerbangan pertama ke Kuala Lumpur, sehinggalah pengalaman menjejakkan kaki ke Eropah, Asia dan Tanah Suci, kenangan tersebut menjadi antara sebab mereka berharap AirAsia terus bertahan dan kembali lebih kuat pada masa akan datang.

Intipati
  • Netizen Indonesia meluahkan rasa sedih dan berharap AirAsia terus bertahan dalam operasi.
  • Beberapa pengguna berkongsi pengalaman melancong ke luar negara melalui promosi tambang murah AirAsia.
  • AirAsia sebelum ini menyatakan komitmen mengawal kos, mengoptimumkan kapasiti dan mengukuhkan kedudukan kewangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan