Mesti ramai yang memilih untuk pakai kuali non-stick kerana ia memudahkan kerja mencuci selepas memasak sebab makanan kurang melekat.
Tapi, bila dah lama pakai kuali non-stick dan dah banyak calar, jangan rasa ia masih sesuai untuk digunakan!
Apa Berlaku Apabila Kuali Non-Stick Calar?
Kebanyakan kuali non-stick menggunakan salutan polytetrafluoroethylene atau PTFE, iaitu bahan yang buat permukaan kuali licin supaya makanan tidak mudah melekat.
Punca berlakunya calar ada macam-macam, termasuk bergesel dengan sudip logam, sudu, garfu atau span pencuci kasar ketika digunakan atau dibersihkan.
Bila sering bergeser dengan benda-benda keras terutama logam, salutan PTFE semakin rosak, dan boleh mula mengelupas dan menyebabkan serpihan kecil tertanggal daripada permukaan kuali.
Kajian yang dirujuk dalam ulasan saintifik mengenai PTFE mendapati permukaan yang tercalar atau rosak boleh melepaskan zarah mikro dan nano PTFE akibat geseran.
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud setiap kuali yang mempunyai satu atau dua calar kecil terus membahayakan kesihatan.
Menurut Institut Penilaian Risiko Persekutuan Jerman (BfR), serpihan kecil PTFE dari salutan kuali itu tidak dijangka boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan jika ditelan secara tak sengaja sebab ia bersifat inert dan tidak dicerna tubuh.
Jadi, isu utamanya bukanlah kerana PTFE itu bahan beracun, tetapi kerana salutan kuali yang sudah rosak tidak lagi berada dalam keadaan terbaik untuk digunakan.
Jangan Panaskan Kuali Kosong
Selain tidak sesuai digunakan jika tercalar, perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah suhu yang digunakan ketika memasak menggunakan kuali non-stick.
Health Canada menasihatkan supaya kuali non-stick tidak dipanaskan dalam keadaan kosong dan tidak digunakan pada suhu terlalu tinggi, contohnya melebihi 260 darjah Celsius.
BfR pula menyatakan salutan PTFE boleh mula terurai dan menghasilkan gas yang berbahaya apabila terlalu panas pada suhu sekitar 360 darjah Celsius atau lebih.
Sebab itu, jangan panaskan kuali kosong walaupun sekadar mahu menunggu minyak atau bahan masakan disediakan.

Jadi, Bila Perlu Tukar Kuali?
Kalau cuma ada satu calar halus dan salutan masih kelihatan elok, ia tidak bermaksud kuali tersebut terus menjadi bahaya untuk digunakan.
Tapi, bila permukaan sudah mempunyai banyak calar, salutan mula mengelupas, menggelembung atau makanan senang melekat, lebih baik berhenti gunakan dan tukar kuali itu.
Menurut FDA, sesetengah salutan non-stick telah dinilai untuk kegunaan bersama makanan dan hanya sejumlah kecil bahan boleh berpindah ke makanan apabila kuali digunakan dengan betul.
Maksudnya, tak perlu panik hanya kerana ternampak satu garisan kecil pada kuali lama di dapur.
Tetapi kalau kuali kelihatan seperti dicakar dengan kuku kucing, itu mungkin petanda sudah tiba masa untuk menukar kuali.
Dalam pada itu, untuk memanjangkan jangka hayat kuali, hanya gunakan sudip kayu atau silikon, elakkan guna sudap logam atau span kasar dan jangan panaskan kuali dalam keadaan kosong.
Paling penting, ikut arahan penggunaan yang diberikan pengeluar kerana setiap jenis salutan dan kuali mungkin mempunyai had penggunaan yang berbeza.

