“Fighter” Kental, Angkut Jentera Naik Kontena Dari Sabah, Sarawak Sertai RXZ Members 6.0
Kira-kira 80,000 peserta dijangka akan berkumpul di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus bagi menyertai acara RXZ Members 6.0.
Acara berkenaan yang menghimpunkan pemilik dan peminat jentera keluaran Yamaha itu berlangsung selama dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu.
Begitupun, kemeriahan acara berkenaan sudah pun dirasai sejak beberapa yang lepas apabila peserta-peserta dari seluruh negara mula bergerak menuju ke negeri di Pantai Timur itu.
Ada yang bergerak bersama keluarga masing-masing dan ada juga yang menyertai acara tersebut dengan berkonvoi beramai-ramai bersama peserta-peserta lain.
Fighter kental, angkut jentera dari Sabah & Sarawak sertai RXZ Members 6.0
Namun siapa sangka, acara yang berlangsung di Semenanjung itu turut disertai oleh fighter-fighter kental dari Sabah dan Sarawak.
Apa tidaknya, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan jauh lebih tinggi daripada peserta-perserta lain untuk hadir ke acara tersebut. Misalnya untuk membeli tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan dan juga kos makanan.
Lebih mengagumkan, mereka juga menggunakan modal sendiri bagi membawa jentera masing-masing merentasi Laut China Selatan untuk menyertai acara berkenaan.
Begitulah kisah pengorbanan yang perlu ditempuhi komuniti RXZ di Sabah dan Sarawak seperti yang dikongsikan oleh Berong Crew.
Menurut Berong Crew, sebanyak tujuh buah jentera RXZ dari Sarawak dibawa dari Miri ke Sabah sebelum dimuatkan ke dalam kontena.
Kos angkut sebuah jentera sekitar RM1,700
Tujuh buah RXZ tersebut bersama jentera-jentera dari wakil Sabah kemudian diangkut melalui jalan laut sebelum tiba di Pelabuhan Klang.
Berkenaan kos pula, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM1,700 untuk sebuah motosikal, tidak termasuk kos-kos lain, untuk dibawa ke Semenanjung.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Berong Crew, dapat dilihat peserta-peserta yang terlibat menyambut ketibaan jentera masing-masing.
Jentera-jentera berkenaan pula dibalut dengan kemas supaya tidak berlaku sebarang kerosakan yang boleh mengganggu kelancaran perjalanan mereka menuju ke Terengganu.
https://www.facebook.com/reel/549259817544777
BACA: Nur Fazura Failkan Penceraian Terhadap Fattah Amin
Apa pun, semoga acara berkenaan berjalan lancar dan semua peserta dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk kebaikkan bersama.
Sumber: Berong Crew