Satu Kes Positif Mpox Clade II Dikesan Di Malaysia – KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang individu daripada 58 kes yang disyaki penyakit cacar monyet atau mpox sebelum ini telah disahkan positif mpox clade II.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyatan hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan dikesan daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini.
“Pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara yang mula menunjukan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula pada 12 September,” maklum KKM.
Difahamkan, pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.
Tambah KKM, pesakit kini sedang dalam isolasi, dan berada dalam keadaan yang stabil.
“Semua kontak pesakit ini sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat.
Susulan itu, KKM telah mengaktifkan bilik gerakan mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan sejak semalam.
CPRC kebangsaan akan bertindak terus memantau situasi itu serta menyelaraskan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.
“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM meneruskan hebahan kepada orang awam melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.
“Orang ramai juga boleh mengambil langkah seperti individu yang bergejala mpox seperti demam, bengkak, kelenjar limfa dan ruam atau lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.
“Dan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser)” katanya dalam satu kenyataan.
BACA JUGA: Feri Terkandas Beting Pasir: 567 Penumpang Selamat Tiba Di Langkawi
Sementara itu, Datuk Dr Muhammad Radzi juga berkata pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral, dan sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.
“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” maklumnya lagi.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengikuti akaun-akaun media sosial KKM untuk mendapatkan kemaskini yang tepat.
Kes terbaru ini (clade II) menjadikan semua 10 kes di Malaysia sejak mpox direkodkan pada 26 Julai 2023.
Sumber: KKM