Siakap Keli
kisah burger ramly
Gambar: Orang Perak

Jadi Pilihan Ramai, Ini Kisah Di Sebalik Kelahiran Burger Ramly

Jadi Pilihan Ramai, Ini Kisah Di Sebalik Kelahiran Burger Ramly

‘Burger tepi jalan’ tak perlu diulaskan lagi kerana ia merupakan salah satu makanan segera paling popular dan digemari oleh rakyat Malaysia.

Jika ditanya burger tepi jalan paling sedap, tentu orang ramai akan menjawab burger Ramly. Ini kerana hampir semua pembuatan burger menggunakan daging burger daripada jenama Ramly.

Aromanya dagingnya ketika dipanggang di atas kuali sungguh menggoda sesiapa sahaja. Diapit pula dengan kepingan roti serta sos cili dan mayonis, melengkapkan gabungan burger nombor satu rakyat Malaysia.

Tetapi, pernah tak anda terfikir, siapakah pemilik burger ini? Sedangkan ia cukup popular dalam negara bahkan hingga ke peringkat global namun tidak ramai yang mengetahui rupa pengasasnya.

Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan latar belakang tentang burger Ramly serta pengasasnya yang ramai tidak tahu di bawah ini.

Burger Ramly

Gambar: Ramly.com

Sebenarnya pemilik di sebalik perusahaan burger Ramly ini adalah sosok figura bernama Dato’ Ramly Mokni. Sifat merendah diri usahawan tersohor ini antara salah satu faktor dirinya tidak diketahui ramai.

Sebelum Ramly terjebak dalam bidang ini, beliau semasa kecil bercita-cita untuk menjadi seorang doktor tetapi impiannya tidak dapat diteruskan kerana ibu bapanya tidak mampu untuk menanggung pengajiannya.

Beliau merupakan anak kelahiran Tanjung Piandang, Perak namun membesar di Sekinchan, Selangor.

Demi mencari peluang pekerjaan yang lebih cerah, anak kelapan daripada 16 orang adik-beradik itu kemudiannya telah berpindah ke Kuala Lumpur.

Kelahiran burger Ramly

Gambar: Orang Perak

Kisahnya bermula pada tahun 1978 apabila Dato’ Ramly Mokni dan isterinya, Datin Shala Siah Abdul Manap mula menjual burger ini sebagai alternatif kepada produk daging halal ketika negara sedang dilanda isu mengenai status halal daging burger.

Beliau yang melihat perkara itu sebagai satu peluang, menggunakan modal sebanyak RM2,000 untuk menghasilkan daging burger dengan hanya menggunakan pisau semata-mata bersama isterinya.

Sebuah flat yang terletak di Jalan Haji Hussein, Kampung Baru menjadi saksi permulaan perjalanan burger jenama Ramly membesar menjadi kebanggaan rakyat Malaysia ini.

Gambar: Orang Perak

Sama seperti peniaga lain, burger yang dijual pasangan suami isteri itu kurang mendapat sambutan orang ramai pada awal jualan.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Ramly dan isterinya sebaliknya membuka sebuah gerai burger berdekatan kawasan Chow Kit.

Berkat kesabaran mereka akhirnya terbalas apabila permintaan daging burger Ramly semakin meningkat.

Bermula dengan 200 keping daging sehari sehinggalah meningkat kepada 3,000 keping daging dijual dalam sehari.

Selepas lebih kurang dua tahun, mereka membuat keputusan untuk membuka syarikat pada tahun 1980 dan kilang kemudiannya dibuka di Bandar Tun Razak selepas empat tahun bagi menampung pengeluaran kira-kira 10,000 keping daging sehari.

Walau bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi itu tidak bergolek. Pelbagai cabaran dan liku ditempuhi mereka termasuklah permohonan pinjaman ditolak Majlis Amanah Rakyat (MARA).

siapa pemilik burger ramly
Gambar: Orang Perak

“Tidak ramai makan burger”

Difahamkan, permohonan tersebut ditolak kerana burger Ramly tidak mempunyai ramai permintaan dalam kalangan rakyat meskipun pihak Bank Pembangunan meluluskan permohonan pasangan itu.

Namun, burger Ramly kini berjaya membawa perubahan dalam komuniti dengan hampir 1.5 tan daging digunakan pada tahun 2019 untuk menghasilkan pelbagai jenis produk jenama Ramly.

siapa pemilik burger ramly
Gambar: Ramly.com

Syarikat ini turut melebarkan sayap dalam perniagaan dengan memperkenalkan pelbagai produk seperti sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili dan banyak lagi.

Sumber: Orang Perak, Ramly.com

BACA JUGA: Kisah Stuckie, Mumia Anjing Yang Terperangkap Dalam Batang Pokok

BACA JUGA: Rupa-rupanya Ini Sebab Mat Saleh Tidak Mahu Malaysia Jadi Popular

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"