Kenali Pelumba Handalan Negara, Azlan Shah Kamaruzaman
Bagi peminat tegar perlumbaan motosikal di Malaysia, nama Azlan Shah Kamaruzaman sudah pasti tidak asing lagi.
Pelumba berusia 40 tahun ini berasal dari Selangor dan telah membina namanya sebagai salah seorang jaguh dalam sukan ini.
Pada tahun 2003, Azlan terpilih untuk menyertai Cub Prix dalam kategori Wira bersama pasukan Chear Kingston.
Dengan menunggang Suzuki FX110, semangat dan kecekapan Azlan membolehkannya menyesuaikan diri dengan cepat.
Dari situlah prestasinya melonjak, membuktikan bakatnya dalam pelbagai perlumbaan.
Setiap kemenangan membuka lebih banyak peluang buat Azlan dan menjadi tangga kejayaan yang membawa namanya ke persada Asia.
Kariernya berkembang ke Asia Road Racing Championship (ARRC), di mana dia berpeluang bersaing di pelbagai negara.
BACA: Pelumba Handalan, Azlan Shah Kamaruzaman Umum Bersara
Puncak karier Azlan dalam Cub Prix dicapai pada tahun 2012 apabila dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP130.
Namun, perjalanan cemerlangnya tidak terhenti di situ.
Pada tahun 2013, dia diberi peluang untuk bersaing dalam kejuaraan Moto2 bersama Honda Team Asia serta di kejuaraan SuperSports 600cc ARRC.
Penampilan sulung Azlan dalam Moto2 di Grand Prix San Marino menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-23.
Dia juga mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara keseluruhan SuperSports 600cc ARRC pada tahun yang sama.
Azlan terus beraksi dalam Moto2 pada tahun 2014 dan 2015, dengan pencapaian terbaiknya di tempat keempat di Litar Motegi.
Pada tahun 2016, Azlan memfokuskan semula perhatiannya pada ARRC dan mencatat keputusan yang cemerlang.
Dia juga turut bersinar dalam Suzuka Endurance Race, berjaya membawa pulang piala kemenangan dalam kategori 4 Hours Endurance dan 8 Hours Endurance.
Kejayaan demi kejayaan terus menjadi milik Azlan apabila dia sekali lagi memenangi SuperSports 600cc ARRC pada tahun 2017.
Namun, takhta tersebut tidak berjaya dipertahankan pada tahun berikutnya.
BACA: MFL Benarkan Empat Pasukan Liga Super Ini Daftarkan 12 Pemain Import
Pada tahun 2019, Azlan menyertai pasukan Onexox TKKR dalam kategori baru ARRC, iaitu Asia Superbike 1000 (ASB1000).
Dengan menunggang BMW S 1000 RR, Azlan memanfaatkan pengalamannya dan berjaya merangkul gelaran juara sulung kelas ASB1000.


Dia berjaya menewaskan pesaing terkuatnya, termasuk Mohd Zaqhwan Zaidi, menjadikan pencapaiannya semakin gah di arena perlumbaan motosikal.
Terbaru, Azlan sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila berjaya merangkul kemenangan sulung dalam kalendar ARRC musim ini.
Di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, dia berjaya memintas pelumba Indonesia, Andi Farid Idzhar, pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan.
BACA: Maybank Cycling Series Johor Berjaya Tarik Lebih Lebih 2,500 Pelumba Basikal
Sumber: RodaRoda