Pokok Tumbang Hempap MPV & Motosikal, Empat Mangsa Dilapor Cedera
Satu kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal berlaku di Jalan Kamunting, Taman Glen View.
Dalam kejadian terbabit, empat mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan dua daripadanya cedera parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berkaitan insiden terbabit sekitar jam 12.53 tengah hari.
Menurut beliau, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan kecemasan diterima.
“Kejadian pokok tumbang itu melibatkan dua buah kenderaan dihempap dahan pokok menyebabkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dinaiki lima orang dan sebuah motosikal jenis Yamaha yang dinaiki dua orang.
“Dua orang yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan tiga lagi selamat manakala penunggang serta pembonceng motosikal yang dipercayai anak beranak, cedera parah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua mangsa yang berada di dalam Perodua Alza merupakan perempuan yang berumur antara 15 hingga 35 tahun.
Manakala, dua mangsa yang menunggang motosikal adalah seorang lelaki dengan anggaran umur 40-an dan seorang pembonceng perempuan dianggarkan berumur 15 tahun.

Tambah beliau, kesemua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak perubatan bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, operasi berjalan dengan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Ilyas Ramli.
Ketua operasi melakukan size-up, selain mengarahkan anggota terlibat membuat kerja-kerja pemotongan dan mengalih dahan pokok tumbang.
BACA: Hujan Lebat, Ribut Petir Di 7 Negeri Petang Ini
BACA: Lapan Perjalanan Feri Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi Batal Akibat Ombak Kuat
BACA: Ribut Petir, Hujan Lebat, Angin Kencang Dijangka Landa Tujuh Negeri
Sumber: Astro Awani