Apa Kaitan Air Pasang Besar Dengan Gerhana Bulan? Ini Jawapannya
“Air pasang pagi surut pukul lima.” Satu bait lagu yang cukup sinonim dengan nyanyian kanak-kanak di sini.
Sedari kecil lagi, kejadian air pasang surut merupakan kejadian alam yang sering kita dengar. Apatah lagi sebagai sebuah negara yang di setiap negerinya, pasti ada persisiran pantai berikutan keseluruhan negara ini di kelilingi lautan iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Biarpun tidak semua penempatan berada berdekatan dengan pesisir pantai, namun masyarakat kita sudah lama mengambil tahu tentang kejadian air pasang surut. Sebelum turun ke laut sama ada untuk mencari rezeki, memancing atau mengambil angin di tepi pantai, pastinya kita memeriksa ramalan cuaca dan waktu air laut pasang atau surut sebagai langkah berjaga-jaga.
Kejadian pasang surut sebenarnya perkara biasa yang berlaku di persisiran pantai negara kita menurut Pusat Hidrografi Nasional. Setiap hari, air laut akan pasang dan surut sebanyak dua hingga empat kali.
BACA: Lapan Perjalanan Feri Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi Batal Akibat Ombak Kuat
Walaupun kita sudah bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan, kadang kala perkara yang dirisaukan tidak berlaku. Pelik, bukan? Tetapi, kadang kala ia berlaku apabila kita tidak menjangkakannya.
Tahukah anda? Selain daripada mengambil tahu tentang keadaan terkini air pasang surut dan ramalan cuaca, kita perlu tahu juga kedudukan dan jarak bulan dari Bumi. Hal ini disebabkan kedudukan bulan sangat mempengaruhi setinggi mana air pasang, dan serendah mana air surut.
Betulkah bulan menyebabkan berlakunya air pasang surut?
Seperti juga Bumi dan planet lain, bulan mempunyai gravitinya sendiri. Apabila bulan berada dekat dengan Bumi, graviti bulan akan menarik beberapa bahagian Bumi ‘mendekati’ bulan. Biarpun tarikan graviti bulan tidak sekuat Bumi, tetapi sebenarnya ada juga bahagian daratan yang turut tertarik sedikit selain air laut.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), tarikan graviti bulan terhadap daratan tidak dapat dirasai melainkan menggunakan peralatan khas. Berbeza pula dengan air laut.
Tarikan graviti bulan terhadap air laut memang boleh dilihat dengan mata kasar iaitu sama ada air laut di paras yang tinggi atau rendah sehingga pantai kelihatan lebih lebar.
BACA: Kenapa Bulan Purnama Dipanggil “Strawberry Moon”? Ini Sebabnya

Apabila Bumi berputar dan menghampiri bulan, graviti bulan akan menarik air laut ke arahnya dan kawasan tersebut akan mengalami air pasang besar. Menerusi gambar perkongsian NOAA, tarikan graviti ini menyebabkan air laut kelihatan seperti ‘tersembul’ ke arah bulan.

Memandangkan Bumi berbentuk bulat, maka air laut akan tertumpu di titik tengah Bumi yang paling dekat dengan bulan. Kejadian ini dipanggil daya pasang surut (tidal force).
Untuk memahami lebih lanjut, anda perlu tahu air pasang surut mempunyai dua tahap iaitu pasang surut besar (spring tide) dan pasang surut kecil (neat tide).
Bagaimana gerhana bulan penuh boleh menyebabkan kejadian air pasang besar?
Air pasang pada tahap yang paling tinggi atau kita panggil air pasang besar berlaku apabila kedudukan bulan berada di jarak yang paling hampir dengan Bumi, dan selari dalam satu baris lurus dengan matahari dan Bumi. Selalunya, keadaan ini biasa kita sebut berlaku gerhana.
Menurut MYSA, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan Bumi dalam kedudukan satu garis lurus. Gerhana bulan penuh pula berlaku ketika Bumi berada di antara matahari dan bulan dalam satu garis lurus.
BACA: Sambut Tahun Baharu Bulan Ini, Ethiopia Baru Masuk 2017, Ini Sebabnya

Ketika berlakunya gerhana, tarikan graviti bulan bergabung dengan tarikan graviti matahari. Dengan daya tarikan yang kuat ini, lebih banyak air laut ditarik menjadikan kawasan di situ mengalami air pasang besar.

Selain daripada kehadiran matahari, terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi iaitu tahap kekuatan angin di pantai dan cuaca. Bayu darat yang kuat boleh menolak air laut menjauhi pantai dan menyebabkan berlaku air surut yang lebih rendah berbanding hari biasa.
Begitu juga dengan keadaan cuaca yang bertekanan rendah dan menyebabkan berlakunya ribut kuat di laut boleh menyebabkan berlaku air pasang yang lebih tinggi daripada biasa.
Sumber: Pusat Hidrografi Nasional, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) (1) (2)