Fasa Peralihan Monsun Mula 24 Sept, Bawa Hujan Lebat & Angin Kencang
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa Peralihan Monsun bakal bermula pada 24 September 2024 di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Keadaan ini akan berterusan sehingga awal November 2024.
Menerusi kenyataan di Facebook jabatan tersebut, kejadian hujan lebat serta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh ketika fasa ini berlaku.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia.
BACA: Pascabanjir Kedah: Kerajaan Umum Peruntukan RM13 Juta – PM Anwar
Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024.
Susulan itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sepanjang tempoh ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.