Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA TERENGGANU, 20 September 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan pelaksanaan inisiatif Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) melalui kaedah tambahan.
Melihat kepada sambutan menggalakkan dan manfaat yang diperolehi oleh rakyat melalui siri penganjuran PJRM di seluruh negara, KPDN akan memperkenalkan kaedah baharu, iaitu penganjuran PJRM di pasar-pasar awam secara bersasar. Pelaksanaan PJRM@Pasar ini adalah tambahan kepada tiga kaedah sedia ada iaitu PJRM dalam premis, luar premis dan bergerak.
PJRM@Pasar akan mula dilaksanakan di pasar-pasar secara bersasar bermula bulan Oktober 2024. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pengguna untuk membolehkan lebih ramai rakyat yang mendapat manfaat.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperbanyakkan lagi jenis barangan keperluan rakyat yang ditawarkan dalam PJRM, selain membuka ruang kepada penglibatan para peniaga di pasar-pasar awam secara bersasar.

Premis sasaran penganjuran PJRM@Pasar akan mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan yang berlaku pergerakan harga barang dengan kadar kenaikan yang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan yang tinggi yang telah mempengaruhi harga barang.
Pemilihan kawasan untuk PJRM@Pasar ini akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam. Kaedah ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar.
Pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga dilaksanakan untuk memastikan PJRM@Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran.

Bagi tahun 2024 bermula dari 1 Januari hingga 19 September 2024, sebanyak 7,173 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang telah merekodkan seramai 6,343,112 pengunjung. Bagi negeri Terengganu sahaja, sebanyak 616 PJRM telah dilaksanakan, di mana 265 kali melalui kaedah secara dalam premis dan luar premis dan 351 kali secara bergerak.