Siakap Keli
Proton Wira litar jerman
Gambar: Seasia Info & Youtube DDM

Bertemakan “Teksi Ampang”, Proton Wira Ini Pernah Berlumba Di Litar Jerman

Bertemakan “Teksi Ampang”, Proton Wira Ini Pernah Berlumba Di Litar Jerman

Proton Wira adalah sebuah model kenderaan lama yang masih menjadi kegilaan ramai walaupun sudah berusia.

Dikenali sebagai “kereta abah-abah,” namanya ‘Wira’ benar-benar mencerminkan ketahanannya yang luar biasa.

Mana tidaknya, kereta itu mendapat sambutan dan permintaannya sangat tinggi.

Bukan sahaja digemari kerana rekaannya yang klasik, tetapi juga kerana kos penyelenggaraannya yang berpatutan.

Itulah yang menjadikannya pilihan utama teksi bermeter suatu ketika dahulu.

Namun, tahukah anda bahawa Proton Wira pernah beraksi di sebuah litar lumba di Jerman, bersama kereta-kereta hebat lainnya?

Pada tahun 2020, dua beradik dari Belanda, Jochem dan Ruben, mencuri perhatian ramai apabila membawa Proton Wira mereka berlumba di litar Nurburgring, Jerman.

Bagi penggemar sukan permotoran, litar ini, yang digelar “Green Hell”, adalah medan ujian bagi kereta-kereta berprestasi tinggi dari seluruh dunia.

Litar ini juga sering menjadi tempat bagi model-model ikonik untuk berlumba.

Dalam projek unik yang dinamakan ‘Projek Proton’, Jochem dan Ruben mengambil inisiatif untuk membawa Proton Wira, sebuah kereta ikonik Malaysia, ke litar Nurburgring.

Mereka turut berkongsi video aksi kereta ini di platform Instagram dan YouTube melalui akaun Dutch DIY Mechanic (DDM).

Proton Wira litar jerman
Gambar: Seasia Info

Menariknya, Proton Wira yang dibawa oleh mereka ini dicat dengan tema Teksi Malaysia.

Kombinasi warna merah putih yang dipilih diinspirasikan daripada teksi yang pernah mereka naiki semasa tinggal di Malaysia selama enam tahun, di kawasan Ampang.

Pengalaman itu membuatkan mereka jatuh cinta dengan budaya tempatan, termasuk kereta Proton Wira yang sangat popular ketika itu.

Setelah kembali ke Belanda, mereka membeli sebuah Proton Wira versi Jerman yang memandu di sebelah kiri (left-hand drive, LHD) untuk dijadikan asas projek mereka.

Namun, enjin asal 4G13 pada kereta itu mengalami kerosakan, termasuk enjin gantian jenis yang sama.

Mereka kemudian membeli satu lagi unit Proton Wira Aeroback yang dilengkapi enjin 1.5L 4G15 sebagai gantian.

Pada bahagian pintu hadapan, mereka menambah logo dan tulisan “Teksi Ampang” serta nama syarikat rekaan mereka, ‘DDM Dutch Mechanics Sdn Bhd’.

Selepas proses naik taraf selesai, mereka membawa kereta itu berlumba di litar Nurburgring dan berkongsi pengalaman tersebut melalui video.

Untuk makluman, Proton Wira adalah salah satu model yang pernah dikeluarkan oleh Proton, syarikat pembuat kereta pertama Malaysia.

Model ini diperkenalkan pada tahun 1993 dan pengeluarannya berakhir pada 2009.

Hingga ke hari ini, Proton Wira kekal sebagai salah satu kereta paling ikonik di Malaysia.

Bukan sahaja dikenang sebagai kenderaan harian tetapi juga sebagai simbol nostalgia dan kegemilangan industri automotif negara.

BACA: Netizen Sebak, Tekun Bantu Sunting Gambar Lelaki ‘Rindu’ Arwah Isteri

BACA: Wanita Kongsi Kisah ‘Kebetulan’ Menarik Bertemu Jodoh

BACA: “Kami Sepatutnya Boleh ‘Makan’ Crystal Palace,” – Ten Hag

Sumber: Seasia Info, YouTube DDM (1) (2)

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.