Polis Tahan Seorang Wanita Bantu Siasatan Kehilangan Sabari
SUNGAI PETANI, 24 Sept (Bernama) — Polis mengesahkan penahanan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seorang pesara, Sabari Baharom, 62, pada 3 Sept lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata polis akan mengeluarkan kenyataan jika terdapat perkembangan baharu dalam siasatan dan meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi.
“Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya.
“Kita ada menahan seorang wanita berusia 62 tahun…kita akan beritahu perkembangan selanjutnya…kita tak nak diviralkan polis tak ambil tindakan sedangkan tindakan sewajarnya telah diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan bekas pegawai kewangan di sebuah agensi kerajaan sejak 3 Sept lalu selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling menaiki kereta jenis Proton Waja.
BACA: “Nak Dekat 11 Jam Kat Situ,” Tersadai Kat “Airport”, Impian Haji Musnah
Kehilangan Sabari disedari anggota keluarganya selepas telefon bimbit miliknya gagal dihubungi selain terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang dalam akaun bank milik lelaki itu yang dikesan dibuat oleh seorang individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Kenderaan dinaiki Sabari ditemukan hangus terbakar di Belantik, Sik, namun kelibat pesara itu tidak kelihatan.
Selain itu, Fisol mengesahkan polis telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di tiga daerah di negeri ini.
“Serbuan dilakukan selaras arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagi mengumpul bahan bukti dipercayai mempunyai kaitan dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan haram pada 1994.
“Memang kita ada buat pemeriksaan-pemeriksaan dari kontinjen kita…saya rasa tiada isu mereka (GISBH) nak melarikan diri ataupun dia menutup premis, yang kita tengok hasil daripada pemeriksaan yang kita buat memang ada yang tutup, ada yang buka,” katanya.
Tambahnya, semua hasil laporan siasatan diserahkan ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Difahamkan tiada tangkapan dibuat dalam operasi membabitkan daerah Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu itu.
BACA: Anak Dakwa Sabari Mungkin Dipukau & Dilarikan
BACA: Anak Resah Ayah Hilang Sejak 4 September, Kereta Pula Ditemui “Total Lost” & Terbakar
Sumber: Bernama