Banjir Kilat Landa Jalan Kebun, Seri Muda & Kota Kemuning
Beberapa kawasan rendah di sekitar Shah Alam dilapor telah dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan, petang ini.
Menurut Sinar Harian, antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam memaklumkan pihaknya ada menerima dua laporan mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di Jalan Kebun dan Kota Kemuning.
Tambahnya, pasukan yang terlibat melakukan pemantauan di Jalan Kebun, manakala pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andas menjalankan pemantauan di kawasan Kota Kemuning.
BACA: “Dengan Penuh Rasa Rendah Diri Patik Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan Selangor” – Sanusi
“Bagaimanapun setakat ini keadaan terkawal dan keadaan banjir kilat beransur pulih sementara keadaan lalu lintas juga terkawal,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Sebelum ini, beberapa video dan gambar memaparkan limpahan air di jalan-jalan utama sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning menjadi tular di media sosial.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada Jumaat telah memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga November depan.
Difahamkan, fasa berkenaan menyaksikan negara bakal menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hashim Mohd Anip berkata, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei 2024.
Jelasnya, situasi terbabit boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang membawa hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat. Ia kebanyakan berlaku di kawasan barat dan pendalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Mohd Hashim menjelaskan keadaan cuaca seperti ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan. Malah, orang ramai perlu sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.