Lubang Benam Selebar 30 Meter Muncul Di Tengah Kota Di Jepun
Satu kejadian lubang benam berukuran kira-kira 3o meter lebar dan sedalam satu meter dilapor berlaku di Nishi, Hiroshima di Jepun hari ini, lapor Mothership.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lubang benam yang muncul kira-kira jam 8.50 pagi (waktu tempatan) itu menyebabkan sebahagian jalan runtuh dan beberapa bangunan berhampiran menjadi senget.
Pihak polis dilapor sudah pun menutup sebahagian jalan di bandar itu sebaik sahaja menerima laporan kecemasan berhubung kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan kejadian lubang benam berlaku dipercayai akibat paip air bawah tanah pecah.
Selebar 30 meter, lubang benam muncul di tengah kota di Jepun
Difahamkan, terdapat orang awam dalam bangunan berdekatan jalan berkenaan ketika lubang benam berkenaan mula terbentuk.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat memaklumkan semua penghuni bangunan di lokasi kejadian sudah berjaya dipindahkan dengan selamat.
Menurut Mothership lagi, kejadian itu turut menyebabkan beberapa buah bangunan mengalami keretakan.
Pihak berkuasa kemudian turut mengeluarkan arahan untuk mengosongkan premis dalam radius 50 meter dari lokasi kejadian.
Kejadian lubang benam turut berlaku di beberapa negara
Terdahulu, beberapa kejadian lubang benam dilapor berlaku di beberapa buah negara sejak kebelakangan ini.
Pada Ogos lepas, seorang pelancong India dilapor terjatuh dalam lubang benam yang muncul di Jalan Masjid India, Malaysia.
Manakala pada hujung bulan yang sama, dua warga emas mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dipandu terjatuh dalam lubang benam yang berlaku di sebatang jalan di Korea Selatan.
Dua hari selepas kejadian di Seoul itu, kejadian yang serupa turut dilaporkan berlaku di Douliu, Taiwan.
Semalam, satu lagi kejadian lubang benam dilapor berlaku di Malaysia, iaitu di sebatang jalan berhampiran Kompleks Bunga Raya Terminal KLIA.
Menurut laporan portal berita tempatan, lubang benam berkenaan mempunyai panjang kira-kira 4.3 meter, kelebaran kira-kira 5.4 meter dan sedalam kira-kira 1 meter.