PNM Galak Rakyat Membaca, Tegas Industri Buku Kekal Releven Di Era Digital
Di tengah arus perkembangan digital yang pesat, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus komited dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia membaca buku fizikal.
Walaupun dunia kini lebih bergantung kepada teknologi digital, PNM yakin bahawa buku fizikal kekal relevan dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
PNM mendedahkan bahawa sejak tahun lalu sehingga Ogos 2024, lebih daripada 102,000 program galakan membaca telah dianjurkan di seluruh negara.
Program-program ini melibatkan perpustakaan di pelbagai peringkat termasuk kampung, komuniti dan negeri, dengan lebih 3.7 juta peserta menyertainya.
Selain menggalakkan pembacaan, PNM juga berusaha untuk menyokong industri penerbitan buku tempatan.
Beberapa inisiatif dilaksanakan melalui kerjasama dengan penerbit dan pemain industri buku untuk memastikan kelangsungan buku fizikal dalam era digital.
Antaranya termasuk pemberian baucar buku, penganjuran pesta buku, sesi pertemuan bersama penulis serta pelancaran buku baharu.
Menurut data terkini, sehingga tahun 2023, PNM telah menerima lebih daripada 33,000 judul buku fizikal, merangkumi lebih 140,000 naskhah.
Tambahan pula, industri penerbitan buku di Malaysia turut menunjukkan pertumbuhan yang ketara, dengan lebih 27,000 permohonan nombor ISBN bagi buku fizikal pada tahun ini, peningkatan lebih 50 peratus berbanding tahun lalu.
BACA: Pameran Digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Diiktiraf Malaysia Book Of Record (MBOR)
PNM yakin bahawa walaupun teknologi digital semakin dominan, buku fizikal masih mempunyai peminat setia.
Bagaimanapun, PNM mengakui bahawa teknologi mampu membantu mempercepatkan perkhidmatan perpustakaan secara lebih cekap dan efisien.
Dengan kemajuan ini, PNM akan terus memastikan mereka selari dengan perkembangan global, sambil mengekalkan tradisi membaca buku fizikal.

Dalam usaha berterusan untuk mempromosikan budaya membaca, PNM akan menganjurkan Karnival Baca Perdana 2024 yang akan berlangsung dari 3 hingga 6 Oktober di Pusat Beli-Belah MyTown, Kuala Lumpur.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini dan terus menyokong industri buku tempatan.
https://www.facebook.com/PerpustakaanNegaraMalaysia/posts/959219089578213/
Perpustakaan dan buku fizikal tetap menjadi nadi penting kepada masyarakat, dan PNM yakin bahawa minat terhadap buku akan terus berkembang walaupun di tengah-tengah dunia digital yang semakin mencabar.
BACA: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Anjur Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM) 2024
Sumber: PNM