Tak Mahu Bayar COD, Pelanggan Salahkan Hantu Yang Buat Pesanan
Seorang lelaki di Thailand menjadi viral selepas memberi alasan yang aneh apabila enggan membayar pesanan KFC yang dihantar ke alamatnya, baru-baru ini.
Menurut The Thaiger, dalam kejadian yang berlaku di wilayah Chon Buri itu, pesanan berkenaan dihantar ke alamat bilik yang didiami lelaki itu oleh seorang penghantar makanan.
Penapha, 33, bagaimanapun merasa terkejut apabila lelaki itu enggan menerima dan membuat bayaran pesanan secara bayar semasa penghantaran (COD) berkenaan.
Lebih mengelirukan, lelaki itu mendakwa dia tidak membuat pesanan itu kerana sedang tidur ketika itu. Sebaliknya, dia mendakwa pesanan tersebut dibuat oleh hantu.
“Dia membuat pesanan KFC kira-kira RM108 dan buat pilihan untuk bayar semasa penghantaran. Tetapi apabila saya tiba, dia cakap dia tidak ada wang dan hantu yang buat pesanan itu.
“Dia ugut jika dia terlalu lapar, dia mungkin akan bunuh seseorang,” kata Panapha.
Penghantar makanan berkenaan kemudian membuat laporan polis selepas menerima ugutan berkenaan.
Dalam pada itu, Polis Don Hua Lo dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat Penapha, kira-kira pukul 11.30 malam pada 1 Oktober lepas.
BACA: Apa Maksud Perfume Bau “Spicy”? Ini Jawapannya
Anggota polis kemudian telah digerakan ke lokasi Penapha dan menemui lelaki berkenaan sedang duduk di atas lantai di laluan luar kawasan bilik yang disewanya.
Semasa disiasat oleh polis, lelaki itu sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa dia tidak memesan hidangan KFC tersebut.
Dia kemudian turut mendakwa bahawa roh teman wanitanya yang telah meninggal dunia telah merasuk dirinya dan membuat pesanan berkenaan.
Disebabkan tidak mempunyai wang untuk membayar hidangan tersebut, dia kemudiannya bersetuju untuk mengikut pegawai polis ke balai polis jika diperlukan.
Setelah mendengar cerita itu, polis mengesyaki lelaki berkenaan mungkin mempunyai masalah mental dan memutuskan untuk membawanya ke balai polis.
BACA: Komet Paling Terang Tahun Ini Dijangka Dapat Dilihat Hingga Awal Oktober
Sementara itu, Penapha memberitahu dia pernah menghantar pesanan yang dibuat oleh individu yang sama sebelum ini.
Namun ketika itu dia tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana lelaki itu membuat bayaran pesanan yang dihantarnya.
Berbeza dengan kejadian kali ini, Penapha berkata dia terpaksa menanggung kerugian besar sekiranya pesanan tersebut tidak dibayar.
Penapha mendakwa, polisi syarikat penghantaran menetapkan bahawa penghantar tidak boleh membatalkan pesanan yang dibuat sekiranya pelanggan enggan membuat pembayaran semasa pesanan dihantar.
Bagi menyelesaikan masalah dihadapi Penapha, anggota polis di balai berkenaan bersetuju mengumpul duit untuk membayar pesanan tersebut.
Mereka seterusnya menyerahkan duit berkenaan kepada wanita berkenaan sebagai pampasan.
BACA: “Tak Kisah Jenama” Lelaki Kongsi 5 Rahsia Rakam Video Cantik Guna “Smartphone”
Sumber: Thaiger