Siakap Keli
Kredit Gambar: Bernama

Warga Emas Maut Diserang Gajah Liar 

Warga Emas Maut Diserang Gajah Liar 

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) — Seorang warga emas yang hilang selepas keluar ke kebun di Kampung Basung, Hulu Terengganu ditemukan maut dipercayai diserang gajah liar.

Mayat Musa Ahmad, 65, ditemukan penduduk kampung di sekitar kebun pada jarak 50 meter dari jalan raya, pada kira-kira 7 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Zulhisham Mohamad Yusof berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada 1 pagi.

“Operasi pencarian bermula 1.34 pagi sebelum jasad Musa ditemukan orang awam di lokasi kejadian dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Anak mangsa, Romisa Musa, 40, berkata ayahnya dipercayai keluar ke kebun yang terletak 1 kilometer dari rumah pada pukul 8 pagi semalam tanpa memaklumkan kepada sesiapa pun. Namun, ayahnya tidak pulang walaupun sudah petang.

Romisa berkata mereka sekeluarga mencari Musa di kebun namun tidak berhasil sebelum membuat laporan mengenai kehilangannya di Balai Polis Kuala Berang, pada 9 malam.

BACA: Hujan Lebat Diramal Landa 12 Negeri & 1 Wilayah Hingga Malam Ini

“Lokasi ayah ditemukan adalah di tengah laluan kabel dalam kawasan semak dipercayai menjadi laluan gajah kerana ada kesan disyaki tapak kaki gajah di situ. Ayah dijumpai dalam keadaan badan kebiruan, lebam dan ada kesan darah di hidungnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada, kepala dan tangan akibat ditekan objek berat dipercayai dipijak gajah liar.

Zainul Mujahidin berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi selain penduduk kampung

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai untuk segera memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) atau polis sekiranya mengesan kehadiran hidupan liar di kawasan sekitar.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika melakukan kerja penebangan pokok di sebuah kebun di Rampung Tarawas, Ranau, semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau telah digerakkan ke kampung yang terletak 32 km dari pekan Ranau sebaik menerima panggilan pada 1.16 tengah hari semalam. Namun, setibanya di lokasi, mereka mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 2.30 petang.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.