Pemulihan Bekas Ahli GISBH: MAIS Laksana Tindakan Bersepadu
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) komited dalam memastikan pemulihan akidah dan bimbingan agama terhadap ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH).
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh MAIS melalui satu kenyataan media hari ini.
Menurut MAIS, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi kolaborasi dengan beberapa pihak.
“MAIS turut berkolaborasi bersama agensi kerajaan dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) bagi melaksanakan proses pemulihan secara menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat umur bagi jangka panjang dan pendek.
“MAIS telah mengambil tindakan bermula pada 23 September 2024 bagi membangunkan Pelan Tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kepada kanak-kanak GISBH. MAIS sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan mereka.
“Sehingga kini, seramai 20 orang guru al-Riqab MAIS terlibat mengajar di Rumah Kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan 261 kanak-kanak.
“Modul yang digunakan dalam proses pemulihan kanak-kanak ini merupakan modul khas yang dibangunkan oleh MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dan pelaksanaannya bermula pada 1 Oktober,” kata MAIS.
Dalam pada itu, MAIS menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini.
“MAIS juga mempunyai Pusat Pemulihan Majlis iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang berperanan menguruskan perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.
“Oleh itu, MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan.
“Selain itu, MAIS turut mempunyai 26 rumah pemulihan al-riqab yang bersedia membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama.
“Bagi perancangan jangka panjang pula, mereka yang telah mengikuti proses pemulihan, boleh menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi bergantung kepada syarat tertentu.
“MAIS turut menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.
“Selain itu, beberapa Jawatankuasa MAIS yang sedia ada iaitu Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah, Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Dakwah, Jawatankuasa Pengawalan Akidah dan Jawatankuasa Riqab turut memainkan peranan masing-masing bagi memperkasa usaha membanteras ajaran sesat, memperkasa usaha dakwah dan proses pemulihan,” kata MAIS.
Tambah MAIS lagi, usaha dakwah dan kesedaran melalui Bahagian Dakwah JAIS juga giat dijalankan bagi memastikan mereka yang di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran ini.
“MAIS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi hal ehwal Islam di negeri Selangor akan terus melaksanakan tindakan bersepadu bagi memastikan sebarang gerakan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar dibanteras di negeri Selangor ini.”
https://www.facebook.com/maiselangor/posts/pfbid032867fJkLwX3rdEZaZcRCATtiJMqFL7NfoaTBe3HCJafgT3F28hKDAjLqoNz1D3TXl
BACA: Nelayan Terkejut, Temui Potongan Badan Penyelam Dalam Perut Ikan Jerung
Sumber: MAIS