Siakap Keli
Kanser Ovari
Kredit: Sinar Harian

Alami Kembung Perut & Sembelit, Kanak-kanak 19 Bulan Hidap Kanser Ovari Tahap 3

Alami Kembung Perut & Sembelit, Kanak-kanak 19 Bulan Hidap Kanser Ovari Tahap 3

Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang mengalami kesukaran membuang air besar serta kerap menangis disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga.

Menurut Sinar Harian, kanak-kanak tersebut yang bernama Daneen Auni Riksi ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Dia juga difahamkan akan menjalani rawatan kimoterapi dalam masa terdekat.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Fallarystia Sintom, 25, berkata dia berasa amat terkejut dan sedih dengan ujian yang terpaksa ditempuh anaknya, yang belum pun berusia 2 tahun.

“Saya sangat tidak sangka sebab kanser ovari jarang kita dengar dihidap pada usia begini, biasanya kena pada usia 40 tahun ke atas atau sudah datang haid.

“Doktor ketika ini sedang meneliti kes anak saya sebab jarang ditemui. Sebaik saja dimaklumkan, saya sedih sebab anak saya masih kecil lagi sudah dibuang ovari sebelah kanan,” katanya seperti yang dilapor oleh Sinar Harian.

Kanak-kanak tersebut mengalami kembung perut dan sembelit

Menjawab pertanyaan bagaimana Daneen Auni dikesan menderita kanser tersebut, wanita itu memaklumkan anaknya kerap mengalami kembung perut dan sembelit sejak Ogos lalu.

“Anak saya tidak selesa dan memandangkan dia belum pandai bercakap, dia hanya menangis apabila mengalami sakit bahagian perut. Selain itu, perutnya juga kembung dan agak sukar untuk membuang air besar.

“Malah dia juga sudah tidak aktif seperti sebelum ini dan tidak mahu berjalan sebaliknya hanya mahu didukung. Kami mulai membuat pemeriksaan di Hospital Kota Marudu namun belum dapat dikesan mengenai sakitnya.

“Kemudian, satu hari bacaan darah anak saya jatuh mendadak dan menyebabkan dia terus dirujuk ke HWKKS pada 28 September lalu dan disitu barulah dapat dikesan ada ketumbuhan serta mengalami pendarahan,” katanya.

Bagi mengeluarkan ketumbuhan sebesar 13.50 sentimeter itu, Fallarystia berkata anaknya perlu menjalani pembedahan segera.

“Pada Rabu lalu, selepas pembedahan dilakukan barulah doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser ovari,” ujarnya lagi.

Perlu berulang alik dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu

Fallarystia turut mengatakan dia bergantung harap kepada Allah  dan juga usaha daripada pihak hospital agar anaknya dapat sembuh dengan segera.

“Buat masa ini, anak saya dalam tempoh penyembuhan selepas dibedah untuk membuang ketumbuhan tersebut. Jadi selepas itu barulah dia boleh memulakan rawatan kimoterapi.

“Doktor berpesan bahawa sakit anak saya ini ada ubat, maksudnya kimoterapi. Selagi ada ubat maksudnya ada harapan dan dalam masa sama saya juga berdoa supaya diberikan kesembuhan kepada anak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan ketiadaan kenderaan sendiri turut menyebabkan Fallarystia berdepan kesukaran untuk berulang alik ke hospital.

Pada masa yang sama, suaminya pula yang bertugas sebagai anggota bomba berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat.

“Di Kota Marudu, saya tinggal di Kampung Mangin yang terletak sejauh 15 kilometer, suami pula bekerja di Kudat. Jadi setiap kali kami ke hospital saya akan berada di rumah mentua yang terletak di Pekan Goshen.

“Jadi dekat perjalanan kami ke hospital. Tetapi sejak dimasukkan ke wad di HWKKS memang agak sukar untuk berulang alik dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu,” jelas Fallarystia.

Kedua-dua pasangan ini memerlukan sumbangan untuk kos Daneen Auni 

Bapa kepada kanak-kanak itu, Riksi Tahir, 25, juga mengakui mereka suami isteri ketika ini sedang buntu memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung.

“Setakat ini pihak hospital belum dapat memberi anggaran kos termasuk pembedahan yang sudah dijalankan dan juga rawatan kimoterapi.

“Saya juga sedang bekerja di Kudat dan tidak dapat sentiasa melawat serta berada di sisi anak dan isteri yang kini berada di hospital di Kota Kinabalu,” katanya.

Oleh itu, dia memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai untuk menampung sedikit perbelanjaan serta kos rawatan anaknya.

“Sumbangan ikhlas ini adalah untuk membantu dalam kos perubatan anak saya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser ovari tahap tiga.

“Kami berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga kecil saya,” jelasnya.

Mereka yang ingin menyumbang boleh berhubung dengan Riksi di talian 010-7644532 dan isterinya, Fallarystia di 010-2608905.

BACA: “Jodoh Sampai Disini”, Cik Epal Sahkan Sudah Bercerai Dengan Jofliam

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.