‘Ratu Bertuah’, Wanita Dedah Rahsia Menang 500 “Lucky Draw” Dalam Setahun
Seorang wanita di Jepun mendakwa telah memenangi kira-kira 500 cabutan bertuah menerusi pelbagai acara dalam tempoh setahun.
Menurut South China Morning Post, hadiah terkumpul yang dimenangi oleh wanita berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM300,140.
Digelar sebagai Ratu Bertuah, Kanae Hirayama baru-baru ini tampil berkongsi rahsia kejayaannya menerusi satu program televisyen Jepun, I Will Make You Happy: The Queen Teaches You Winning Techniques.
Menerusi program itu, Hirayama mendedahkan bahawa lebih separuh daripada barangan di rumahnya diperoleh melalui cabutan bertuah atau undian kemenangan.
Difahamkan, ia adalah perkara biasa bagi perniagaan di Jepun untuk menjalankan undian atau cabutan bertuah dalam talian dan menggunakan hadiah sebagai strategi pemasaran.
Ratu Bertuah menang 500 Lucky Draw dalam setahun
Menurut Hirayama, antara hadiah-hadiah yang pernah dimenanginya adalah periuk, kotak bento, cawan, mainan kanak-kanak, bola yoga dan juga makanan ringan.
Selain itu, dia juga pernah memenangi beberapa hadiah mahal seperti ketuhar yang bernilai 70,000 yen (RM2,030) dan penapis air berharga 100,000 yen (kira-kira RM2,900).
Menjelaskan strategi yang digunakan, Hirayama berkata adalah sangat penting melewatkan pendaftaran sehampir yang mungkin dengan tarikh tutup penyertaan.
“Banyak (penganjur) menggunakan proses pemilihan manual. Jadi lebih cepat penganjur melihat nama anda, lebih tinggi peluang untuk menang,” jelas Hirayama.
Mengambil masa empat jam menyiapkan diri dalam cabutan bertuah
Dia juga menekankan kepentingan masa atau timing, dimana dia mengutamakan pertandingan yang diadakan pada awal dan hujung tahun.
Katanya, orang ramai lebih sibuk pada dua tempoh ini, sekaligus skala penyertaan mungkin rendah dan meningkatkan peluang kemenangan untuknya.
Namun Hirayama menegaskan, ketekunan adalah aspek paling utama yang menentukan kemenangan seseorang.
Dia akan bangun pada pukul 6 pagi setiap hari untuk menyediakan sarapan pagi untuk keluarga. Kemudian dia akan mencari pelbagai pertandingan cabutan bertuah atas talian dan mencatat kemas kini dalam buku nota secara teliti.
Secara purata, dia akan mendedikasikan kira-kira empat jam setiap hari untuk mengambil bahagian atau menyiapkan diri dalam cabutan bertuah.
Pendedahan yang dibuat oleh Hirayama pantas menarik perhatian warga maya dan rata-rata berterima kasih dengan perkongsian dibuat wanita tersebut.
BACA: Netizen Berbelah Bahagi, Muzium Sweden Senarai Durian Antara Makanan Menjijikan Di Dunia