Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bakal menerima kenaikan pakej gaji tahunan lebih 60 peratus kepada S$3.6 juta (RM11.8 juta), sekali gus terus menjadi pemimpin politik dengan bayaran tertinggi di dunia.
Menurut laporan, kenaikan itu akan menyaksikan pakej pendapatan tahunan Wong meningkat daripada S$2.2 juta kepada S$3.6 juta, termasuk peningkatan sebanyak S$1.4 juta (RM4.6 juta).
Wong berkata, kenaikan gaji itu diperlukan bagi menarik lebih ramai individu berkaliber untuk menyertai bidang politik dan memastikan kerajaan dapat membentuk pasukan terbaik untuk mentadbir negara.
Bagaimanapun, beliau berkata akan mendermakan kenaikan gaji berkenaan kepada badan kebajikan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Secara keseluruhan, saya percaya langkah ini akan memberi saya dan perdana menteri pada masa hadapan peluang lebih baik untuk meyakinkan rakyat Singapura yang berkemampuan supaya tampil ke hadapan, selain membina pasukan yang terbaik untuk Singapura,” katanya.
Gaji Menteri Turut Naik
Selain perdana menteri, kerajaan Singapura turut mengumumkan kenaikan gaji menteri dan pemegang jawatan politik lain.
Pada masa ini, pakej gaji asas menteri adalah sekitar S$1.1 juta setahun dan akan meningkat kepada kira-kira S$1.2 juta menerusi skim baharu.
Wong berkata, kebanyakan menteri dijangka menerima sekitar S$1.35 juta menjelang akhir penggal kerajaan semasa berdasarkan prestasi masing-masing.
Sebahagian daripada pakej gaji itu ditentukan berdasarkan pencapaian negara terhadap beberapa sasaran termasuk kadar pengangguran, pertumbuhan pendapatan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut Wong, kerajaan perlu menawarkan pakej yang munasabah bagi menarik pemimpin daripada sektor swasta dan penjawat awam kanan untuk meninggalkan kerjaya masing-masing bagi menyertai politik.
Katanya, kerajaan mungkin tidak mampu menyamai pendapatan yang diterima sebahagian pemimpin korporat, namun tidak mahu faktor kewangan menjadi halangan kepada mereka untuk berkhidmat dalam politik.
Dikritik Ketika Kos Sara Hidup Meningkat
Bagaimanapun, langkah tersebut mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat Singapura yang kini berdepan kebimbangan berkaitan keselamatan pekerjaan dan peningkatan kos sara hidup.
Wong mengakui isu gaji tinggi menteri sering mendapat perhatian kerana jumlahnya jauh lebih tinggi berbanding pendapatan kebanyakan rakyat.
Pendapatan bulanan median di Singapura ketika ini ialah sekitar S$5,775.
Di media sosial, sebahagian pengguna menyifatkan kenaikan itu sebagai tidak peka terhadap keadaan semasa, terutama ketika pemberhentian pekerja, peluang pekerjaan untuk graduan baharu dan inflasi menjadi kebimbangan.
Data kerajaan menunjukkan jumlah pemberhentian pekerja di Singapura pada suku terakhir mencatat paras tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun.
Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang menyokong langkah berkenaan dengan alasan kerajaan perlu menawarkan ganjaran kompetitif bagi mendapatkan individu terbaik untuk menerajui negara.
Isu gaji tinggi menteri sudah lama menjadi antara perkara yang mengundang kritikan terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memerintah Singapura sejak negara itu mencapai kemerdekaan.
Pada Pilihan Raya Umum 2011, PAP mencatat peratusan undi terendahnya dalam tempoh beberapa dekad, dengan isu gaji menteri dan dasar imigresen antara perkara yang dikaitkan dengan ketidakpuasan pengundi.
Kerajaan kemudian mengurangkan gaji menteri pada 2012.
Dalam pada itu, kerajaan Singapura selama ini mempertahankan sistem gaji tinggi berkenaan dengan menyatakan ia membantu mengurangkan risiko rasuah.
Singapura juga secara konsisten berada pada kedudukan tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah tahunan Transparency International, yang sering dijadikan antara hujah bahawa sistem gaji tersebut berkesan.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, turut pernah berjanji untuk mendermakan kenaikan gajinya kepada badan kebajikan selama beberapa tahun.

