Siakap Keli
dbkl kompaun lima premis
Kredit: DBKL

Tak Guna Bahasa Kebangsaan Pada Papan Iklan, DBKL Kompaun Lima Premis

Tak Guna Bahasa Kebangsaan Pada Papan Iklan, DBKL Kompaun Lima Premis

Lima premis sekitar Jalan Imbi, Bukit Bintang dikompaun dan terima Notis Penguatkuasaan berikutan tidak menggunakan bahasa kebangsaan di papan iklan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan kelima-lima premis tersebut gagal mempamerkan papan iklan yang menggunakan bahasa kebangsaan.

Hasil siasatan mendapati, premis-premis ini telah melanggar Undang-Undang Kecil Iklan (WP) 1982. Pihaknya memberi tempoh 14 hari untuk premis menurunkan iklan tersebut.

BACA: Tealive Berkembang Ke Timur Tengah, Bekerjasama Dengan Konglomerat Dari Dubai

“Walaupun peraturan sudah lama diperkenalkan, nampaknya masih ada premis di sekitar Bukit Bintang yang tak faham atau buat-buat lupa tentang kepentingan Bahasa Malaysia.

“Nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tak apa, kita bantu ingatkan mereka dengan kompaun dan Notis Penguatkuasaan,” ujarnya.

Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial berkenaan lambakan premis perniagaan di kawasan berkenaan yang tidak guna bahasa kebangsaan di papan iklan premis.

“Melalui satu video tular di media sosial, DBKL turun padang untuk ‘menyegarkan’ ingatan mereka tentang peraturan ini,” jelasnya lagi.

Melalui hantaran yang sama, DBKL turut memberi jaminan pihaknya akan sentiasa memantau keadaan dan memastikan premis lain tidak melakukan kesalahan yang sama.

BACA: KJ Menang Anugerah Penyampai Radio Popular

Dalam pada itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan dan Mekanikal, Jabatan Integriti, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang telah menjalankan Operasi Bersepadu merobohkan struktur di sekitar Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1.

Operasi yang turut melibatkan agensi Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor ini telah merobohkan lima buah struktur haram di rizab jalan awam semalam.

“Tindakan diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. DBKL juga turut melaksanakan tindakan sita serta merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ke atas barangan-barangan perniagaan tersebut,” katanya.

Kesemua sisa struktur telah dilupuskan selepas operasi tamat.

Orang awam disarankan membuat laporan secara terus kepada pihak DBKL menerusi https://adukl.dbkl.gov.my/

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1) (2)

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.