Lebih Kapasiti, Penjara Malaysia Tidak Mampu Lagi Tampung Banduan
KUALA LUMPUR — Sekitar 87,000 banduan kini ditempatkan di penjara di seluruh negara melebihi kapasiti maksimum 74,000 tahanan, lapor Astro Awani.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Peluncuran Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau berkata usaha rentas agensi dan kementerian perlu dilaksanakan.
“Insya-Allah kita akan bantu Jabatan Penjara Malaysia menyelesaikan masalah lebih muatan ini dengan beberapa pendekatan proaktif setelah dibentangkan dalam mensyuarat (Majlis Sosial Negara) sebentar tadi,” jelasnya.
Tegasnya, kerajaan memandang serius berhubung permasalahan sosial yang berlaku dalam negara.
“Saya baru selesai mempengerusi mesyuarat Majlis Sosial Negara dan kami sentiasa cari penyelesaian serta buat keputusan dasar mengenai hala tuju pembangunan sosial negara sambil menilai strategi yang sedang dilaksanakan.
“Isu kami bincangkan tidak terhenti dalam permasalahan sosial yang saya sebutkan di dalam ucapan ini, tetapi ia melangkaui permasalahan lain seperti pengurusan banduan rentan.
“Ini termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, dasar perbankan buat orang kurang Upaya (OKU), pengurusan pelarian dalam negara dan keciciran murid sekolah menengah yang semakin merisaukan,” katanya.
Menerusi DSN 2030, menyentuh galakan penyertaan golongan wanita dalam tenaga buruh sebanyak 60 peratus selain Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah negara disasarkan pada kedudukan ke-25 .
Sehubungan itu, keperluan asas, potensi diri, sistem sokongan dan tanggungjawab sosial merupakan teras dalam dasar sosial ini.
Sebanyak 44 pelan tindakan utama mengenai sosial melibatkan 19 kementerian dan agensi di bawah pemantauan Majlis Sosial Negara telah dilakukan oleh kerajaan bagi merealisasikan semua objektif DSN 2023.
Sumber: Astro Awani