Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Perasmian IFCEM 2024 Dengan Tema “Enhancing The Capacity”

Nurul Naqiyah
ifcem 2024 enhancing the capacity

Perasmian IFCEM 2024 Dengan Tema “Enhancing The Capacity”

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2024 – YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian International Fire Conference and Exhibition Malaysia 2024 (IFCEM 2024) dengan tema “Enhancing the Capacity” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Perasmian yang berlangsung dengan penuh gemilang ini menandakan bermulanya persidangan bertaraf antarabangsa selama tiga hari daripada 22 hingga 24 Oktober 2024 melibatkan penyertaan persidangan seramai 1,900 orang dari 15 buah negara.

Penganjuran IFCEM 2024 ini adalah dengan kerjasama strategik The Institution of Fire Engineers (UK) Malaysia Branch-IFE(M), Malaysia Fire Protection Association (MFPA), The Confederation of Fire Protection Association International (CFPA-i) dan The Society of Fire Protection Engineers (SFPE) yang diadakan setiap tiga tahun.

YB KM dalam ucapan perasmiannya menyifatkan, penggunaan tema “Enhancing the Capacity” adalah sangat bertepatan dengan situasi masa kini yang menyaksikan peningkatan risiko kebakaran kompleks serta perubahan landskap global yang memerlukan pasukan penyelamat meningkatkan kemampuan untuk mencegah, menguruskan dan bertindak balas kepada bukan sahaja insiden kebakaran namun semua bentuk panggilan kecemasan yang rumit.

“’Membangunkan kapasiti’ tidak hanya terhad kepada inovasi teknologi semata mata, ia merangkumi pembangunan kemahiran, pengetahuan, infrastruktur dan sistem yang akan membolehkan kita menangani risiko serta bertindak balas kepada kecemasan dengan lebih efektif juga efisyen.

“Ia memerlukan pendekatan lebih holistik yang berintegrasi dengan teknologi maju, latihan yang ketat, kerjasama rentas sektor dan dedikasi tidak berbelah bahagi daripada pasukan barisan hadapan kita,” ujar beliau.

ifcem 2024 enhancing the capacity

Dalam pada itu, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam ucapan aluan berkata, penganjuran kali ini amatlah penting kerana ia menghimpunkan pakar-pakar industri dari seluruh dunia untuk bertukar idea, berkongsi amalan terbaik dan mempamerkan kemajuan teknologi masa kini.

“Ia mempersiapkan kami dengan kaedah untuk meningkatkan keupayaan tindak balas bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga dari segi pengetahuan, latihan dan kerjasama yang diperlukan untuk menangani pelbagai risiko yang kami hadapi sebagai pasukan penyelamat.

“Persidangan dan pameran yang dianjurkan ini juga adalah bertujuan untuk memastikan kita dilengkapi dengan alatan, latihan, dan strategi yang paling maju bagi menjalankan tugas dengan selamat dan berkesan. Pandangan, perbincangan, dan pendapat pakar yang dikongsikan dalam persidangan ini pastinya akan membantu organisasi kita untuk terus berkhidmat dengan penuh keyakinan.” jelas beliau.

Turut berlangsung serentak adalah Persidangan Agung International Fire Chiefs’ Association of Asia (IFCAA) General Conference ke-33 melibatkan 80 orang delegasi yang terdiri daripada 1 Presiden, 4 Timbalan Presiden dan 15 ‘Fire Chiefs’ dari 15 buah negara di Asia.

ifcem 2024 enhancing the capacity

Persidangan Agung IFCAA tahun ini merupakan kali yang ke-3 diadakan di Kuala Lumpur di mana kali pertama ia diadakan di Malaysia adalah pada tahun 1992 dan seterusnya pada tahun 2000.

Sewaktu IFCEM 2024 berlangsung juga akan diadakan Malaysia International Rescue Extrication Challenge (MIREC) yang merupakan satu pertandingan penyelamatan antarabangsa bagi menguji kemahiran dan kecekapan pasukan penyelamat dari seluruh dunia dalam situasi kecemasan seperti penyelamatan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan atau bangunan runtuh.

ifcem 2024 enhancing the capacity

Pertandingan ini melibatkan dua teknik konsep penyelamatan iaitu Road Traffic Accident (RTA) dan Confine Space Rescue di mana pasukan akan dinilai dalam aspek kepantasan, teknik yang betul dan kecekapan dalam menangani operasi penyelamatan.

Dalam pada itu, para pengunjung turut berpeluang mengunjungi ruang pameran teknologi terkini yang digunakan pasukan keselamatan dalam menghadapi situasi kecemasan atau bencana.

Pameran ini akan melibatkan penyertaan sebanyak 143 reruai pameran iaitu 104 reruai tempatan dan 39 reruai antarabangsa. Jabatan menjangkakan kehadiran lebih 7,000 orang pengunjung bersasar ke pameran ini.

Pameran ini adalah terbuka kepada orang awam, masuk juga adalah percuma dan pengunjung berpeluang untuk memenangi sebanyak 36 hadiah cabutan bertuah iaitu tiga unit tablet, tiga unit pembersih vakum, sembilan unit air fryer, sembilan unit cordless drill, sembilan unit steam iron, dua unit televisyen 55 inci dan hadiah utama merupakan sebuah ATV.

Turut hadir pada majlis perasmian ini adalah Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Encik Yoshida Yoshimi, Presiden IFCAA dan barisan kepimpinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.