Siakap Keli
mu pengganti ten hag
Gambar: AFP

Ini 3 Nama Antara Disebut Pengganti Ten Hag Di MU

Ini 3 Nama Antara Disebut Pengganti Ten Hag Di MU

Manchseter United sebentar tadi mengumumkan pemecatan pengurus semasa kelab itu, Erik Ten Hag yang berkuat kuasa serta-merta.

Dengan pemecatan tersebut, The Red Devils yang mengalami penurunan prestasi amat ketara sejak kebelakangan ini akan dipimpin oleh jurulatih sementara, Ruud van Nistelrooy.

Namun yang pastinya, melalui kenyataan media oleh MU tadi memberi indikasi bahawa kelab itu akan segera menjalankan proses mencari Ketua Jurulatih baharu sebagai pengganti.

Tiga nama disebut-sebut sebagai pengganti ten Hag di MU

Setakat ini, beberapa nama besar dalam dunia kejurulatihan bola sepak Eropah disebut-disebut sebagai calon utama untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan oleh ten Hag.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada tiga nama jurulatih yang menjadi tumpuan dan kerap disebut oleh peminat MU sendiri selama ini.

Zinedine Zidane

Bukan rahsia lagi, legenda Perancis dan bekas jurulatih Real Madrid ini antara sosok yang sangat dikagumi oleh pengurusan tertinggi United.

Zidane tidak membimbing mana-mana pasukan sejak 2021 dan menurut BBC, MU pernah menghampirinya pada tahun yang sama selepas memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Ketika itu, media berspekulasi Zidane mungkin menolak pelawaan United untuk menjadi jurulatih di Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.

Setakat ini, karier kejurulatihan beliau tidak pernah diuji di luar La Liga. Namun tiada siapa dapat menafikan rekod luar biasanya semasa membimbing Real Madrid termasuk menjuarai Liga Juara-juara (UCL) tiga kali berturut-turut.

Xavi

Xavi, seorang lagi jurulatih dari La Liga juga antara nama yang sering dikaitkan sebagai pengganti ten Hag.

Beliau sudah tentu mempunyai karier yang sangat gemilang sebagai pemain Barcelona. Sebagai jurulatih pula, beliau membimbing kelab itu menjuarai La Liga dan Supercup pada musim keduanya.

Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang beliau daripada ditunjukkan jalan keluar oleh hierarki tertinggi Barcelona.

Xavi juga tidak membimbing mana-mana kelab ketika ini, sekaligus menjadikan prospek untuk melihat beliau mengikut jejak langkah mentornya, Pep Guardiola berkelana ke EPL terbuka luas.

Simone Inzaghi

Pengurus semasa Inter Milan yang beraksi di Serie A ini juga antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi pengurus MU seterusnya.

Beliau menunjukkan kemampuan sebagai jurulatih apabila berjaya menjulang pelbagai trofi pada musim kedua bersama Inter termasuk menjadi juara liga Itali dan Coppa Italia sebanyak dua kali.

Pada musim 2022/23, beliau membimbing Inter mara sehingga ke perlawanan akhir UCL namun terpaksa akur tewas kepada Manchester City.

Namun begitu, Inzaghi dikatakan baru sahaja memperbaharui kontraknya bersama Inter untuk tempoh sehingga 2026 ini.

Nama-nama lain yang berpotensi menjadi jurulatih MU yang seterusnya

Selain tiga nama di atas, terdapat nama-nama lain juga yang turut berpotensi besar menjadi jurulatih MU yang seterusnya.

Antaranya adalah Graham Potter, Thomas Frank, Kieran McKenna, Ruben Amorim, Edin Terzic, Julian Nagelsmann dan Roberto de Zerbi.

Boleh jadi juga, Nistelrooy bakal dilantik sebagai pengurus tetap sekiranya beliau berjaya menjalankan peranannya sebagai jurulatih sementara dengan cemerlang.

Atau adakah kita akan melihat kepulangan semula jurulatih lama seperti Ole Gunnar Solskjaer, siapa yang tahu, kan?

BACA: Manchester United Pecat Erik Ten Hag

Sumber: BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.