Padang Pasir Arab Saudi Bersalji Buat Pertama Kali Dalam Sejarah
Kawasan Al-Jawf di Arab Saudi dilitupi salji putih buat pertama kali dalam sejarah.
Penduduk setempat terkejut apabila bangun dari tidur dan melihat kawasan pergunungan dan lembah yang biasanya gersang bertukar kepada pemandangan musim sejuk yang menakjubkan.
https://x.com/mededov_nurlan/status/1853046855707316318
Menurut Agensi Berita Arab Saudi, fenomena ini merupakan sebahagian daripada perubahan cuaca.
Ini melibatkan hujan lebat, hujan batu dan pembentukan air terjun, yang sekali gus menghidupkan kembali lembah-lembah kering di sekitar Al-Jawf.
Pihak berkuasa tempatan menjangkakan bahawa perubahan cuaca ini akan membawa kepada musim bunga yang lebih meriah.
Bunga-bunga bermusim dan tumbuhan aromatik dijangka bakal menambah keindahan semula jadi kawasan Al-Jawf.
Dengan ramalan hujan dan suhu sejuk yang dijangka berterusan, ramai juga berharap akan munculnya musim bunga yang lebih indah dan mempesonakan.
Justeru, fenomena salji di Al-Jawf ini membuka ruang kepada masyarakat tempatan dan dunia untuk melihat perubahan cuaca yang ketara di Timur Tengah.
Ini memberikan perspektif baharu tentang landskap dan keindahan alam di Arab Saudi.
Amaran cuaca buruk dikeluarkan di Al-Jawf
Berikutan perubahan cuaca yang tidak dijangka ini, jabatan cuaca Arab Saudi telah mengeluarkan amaran cuaca buruk yang dijangka berlarutan dalam beberapa hari akan datang.
Ribut petir, hujan lebat, hujan batu serta angin kencang diramalkan melanda kawasan tersebut, berpotensi menjejaskan jarak penglihatan dan keselamatan perjalanan.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi cuaca yang luar biasa ini.
Untuk info, negara-negara Timur Tengah lain turut mengalami cuaca luar biasa musim ini.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pusat Meteorologi Nasional melaporkan hujan lebat, ribut petir dan kemungkinan hujan batu yang memberi kesan kepada beberapa kawasan.
Pakar meteorologi mengaitkan keadaan ini dengan sistem tekanan rendah dari Laut Arab, yang membawa cuaca lembap ke rantau ini yang biasanya kering.
BACA: Kucing Jalanan Malaysia Jadi Juara Dunia
BACA: Al Hilal Didakwa Bakal Tamatkan Kontrak Neymar
BACA: Terpisah 7 Tahun, Pasangan Suami Isteri Peluk Anak Sulung Buat Ramai Sebak
Sumber: The Economic Times