17 Kali Gugur Untuk Zuriat, Wanita Diceraikan Kerana Tak Dapat ‘Bagi’ Ramai Anak
Setiap pasangan yang berkahwin pasti ingin mempunyai cahaya mata sendiri. Kehadiran dan kelahiran bayi pastinya akan mengubah kehidupan berkeluarga.
Namun begitu, anak adalah rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT.
Ada yang dikurniakan khabar gembira tidak lama selepas berumah tangga, dan ada juga berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan cahaya mata.
Pada masa yang sama, ada pasangan sedang bergembira dengan kehamilan namun diuji dengan kesedihan apabila penghuni rahim hanya bertahan sebentar sahaja.
Apa yang berlaku, sudah tentu meninggalkan kesan pada emosi yang sangat mendalam kepada mereka yang menempuh ujian tersebut.
Sama seperti kisah wanita ini, yang menempuh banyak liku dalam perjuangannya mendapatkan zuriat.
Kisah wanita 17 kali gugur nak dapatkan anak
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @kotakkosong9795 berkongsi kisahnya bertemu seorang wanita yang menempuh pelbagai ujian untuk menimang cahaya mata.
Menurut @kotakkosong9795, dia bertemu dengan wanita berkenaan pada tahun lepas ketika dia singgah di sebuah kedai untuk membeli wafel.
Wanita berkenaan ketika itu juga sedang menunggu pesanannnya disiapkan dan mereka sempat bertegur sapa.
@kotakkosong9795 berkata, pada awalnya wanita itu bertanya kepadanya sama ada sudah mendirikan rumah tangga atau pun belum.
Perbualan tersebut kemudian berlanjutan sehinggalah terbuka satu kisah hidup yang sangat menyentuh hati.
Gugur sebanyak 7 kali selepas cuba mendapatkan zuriat kedua
Kata wanita itu, dia berdepan ujian keguguran berkali-kali sebelum dikurniakan rezeki anak pertama.
“Anak akak seorang saja tetapi nak dapatkan dia, bermacam-macam ujian. Sebelum dapat anak, akak dah 10 kali gugur dan lama sangat akak TTC.
“Bila dapat pertama, suami suka sangat kemudian minta anak kedua sebab anak pertama dah besar. Tapi tak ada rezeki Allah nak bagi,” kata wanita itu.
Seperti pengalaman ketika menunggu cahaya mata sulung, wanita itu memberitahu dia turut mengalami keguguran sebanyak 7 kali untuk mendapatkan cahaya mata kedua.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka tidak bertahan lama apabila si suami mengambil keputusan untuk menceraikan wanita berkenaan atas alasan yang mengejutkan.
“Kami bercerai sebab bekas suami cakap saya tak boleh bagi dia anak yang ramai,” dedah wanita tersebut.
Menurut @kotakkosong9795, kisah yang dikongsikan oleh wanita berkenaan masih diingatinya dengan baik sehingga ke saat ini.
“Ramai anak syurga yang sedang menunggu dia”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok meluahkan rasa simpati dan mendoakan agar wanita itu diberikan kekuatan.
Dalam pada itu, ada juga yang turut berkongsi kisah apabila mengalami nasib yang sama seperti wanita berkenaan.
BACA: 8 Punca Kereta Rasa Semput Bila Tekan Minyak, No.3 Mungkin Ada Yang Perasan
Sumber: kotakkosong9795 via TikTok