Wanita Nekad Pasang “Sel Penjara” Di Rumah Demi Lindungi Diri, Jiran-Jiran
Seorang wanita warga emas di Thailand nekad untuk melindungi diri dan jiran-jirannya dengan memasang sel penjara di rumah.
Menurut Oddity Central, wanita berusia 64 tahun itu bertindak sedemikian bagi mengurung anaknya yang berusia 42 tahun.
Difahamkan, anak lelakinya itu boleh ‘bertindak ganas’ dan menjadi ancaman akibat ketagihan dadah dan perjudian.
Selama lebih 20 tahun, wanita tersebut telah cuba pelbagai cara untuk membantu anaknya pulih.
Dia telah membawa anaknya ke lebih 10 pusat pemulihan di seluruh negara, namun semua usaha itu gagal.
Situasi semakin parah apabila anaknya juga mula ketagihan berjudi, menyebabkan tindakannya menjadi semakin tidak terkawal dan berbahaya.
“Saya hidup dalam ketakutan selama 20 tahun. Sejak suami meninggal dunia, saya tinggal berdua dengan anak saya.
“Ketagihan dadah anak saya adalah antara penyebab utama suami saya mengalami kemurungan dan tekanan sehingga meninggal dunia.
“Saya memasang jeriji besi di rumah kerana risaukan keselamatan diri dan jiran-jiran,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Pada 23 Oktober, wanita tersebut terpaksa menghubungi pihak polis kerana tidak dapat mengawal anaknya.
Anaknya kemudiannya dibawa ke hospital, namun wanita tersebut tahu bahawa dia akan pulang tidak lama lagi.
Oleh itu, wanita tersebut memutuskan untuk memasang sel penjara di rumah mereka sebagai langkah keselamatan.
Wanita tersebut juga memastikan anaknya mempunyai kemudahan asas seperti katil, bilik mandi dan WiFi di dalam sel tersebut.
Dia turut membuat lubang kecil untuk menghantar makanan dan minuman kepada anaknya serta memasang kamera CCTV untuk memantau tingkah laku anaknya 24 jam sehari.
Tindakan ini mendapat perhatian meluas, termasuk dari pihak berkuasa tempatan
Namun, langkah ini mengundang perhatian meluas, termasuk daripada pihak berkuasa. Polis yang melawat rumah mereka menyatakan kebimbangan terhadap tindakan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah, tindakan mengurung seseorang secara paksa boleh dianggap sebagai melanggar Artikel 310 Kanun Jenayah Thailand.
Ini berkaitan dengan penahanan haram dan boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun jika menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
Walaupun begitu, pihak berkuasa menyatakan kemungkinan besar wanita berkenaan tidak akan dikenakan tindakan undang-undang.
Ini kerana kisahnya telah mendapat perhatian antarabangsa, sekali gus menonjolkan masalah ketagihan dadah yang semakin serius di Thailand.
Bagaimanapun, polis mengarahkan wanita berkenaan untuk merombak sel penjara tersebut dan berjanji akan mencari penyelesaian yang lebih baik bagi masalahnya.
BACA: Pelakon Terkenal Song Jae Rim Meninggal Dunia Pada Usia 39 Tahun
BACA: Lelaki Disyaki Bunuh Ibu, Simpan Mayat Dalam Peti Sejuk Beku Sejak 2021
BACA: Lelaki Ditahan Susulan Penemuan Mayat Wanita Dalam Peti Sejuk
Sumber: Oddity Central