Dua Penalti Bantu Malaysia Benam Laos 3-1
Harimau Malaya berjaya membenam Laos 3-1 dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1, yang berlangsung di Stadium PAT, Bangkok Thailand sebentar tadi.
Sejak awal permainan, hujan turun dengan lebatnya menyebabkan rentak permainan kedua-dua pasukan sedikit terganggu, dengan beberapa hantaran pendek sering tersangkut dalam lopak air di atas padang.
Malaysia memperolehi peluang pertama menerusi tandukan tepat Paulo Josue, namun, ia ditangkap kemas oleh penjaga gol Laos.
Penguasaan bola pada minit awal membuahkan hasil selepas anak-anak buah Pau Marti berjaya menjaringkan gol pertama menerusi tandukan pemain pertahanan Harith Haiqal seawal minit ke-6.
Bagaimanapun, keghairahan Harimau Malaya dalam memburu gol terhenti seketika apabila dihukum oleh pemain Laos menerusi gol penyamaan pada minit ke-34.
Ia selepas satu hantaran lolos yang berjaya mengelirukan pertahanan Malaysia, sebelum disudahkan dengan baik oleh pemain lawan untuk menewaskan Syihan Hazmi.
Syafiq Ahmad berpeluang untuk meletakkan Malaysia kembali di hadapan pada penghujung babak pertama namun gagal melakukan tampanan kemas meskipun pintu gol sudah terbuka.
BACA: Tular Penampakan Ikan Paus “Terbang” Di Pulau Payar Curi Perhatian
Sepanjang babak pertama menyaksi bola lebih banyak berlegar di tengah padang, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Bermula babak kedua, Malaysia bermula garang dengan cuba meningkatkan intensiti permainan dalam memburu gol.
Bagaimanapun, skuad yang berada di kedudukan 187 dunia itu tidak memberi laluan mudah untuk Malaysia.
Percaturan Pau Marti membuat tiga pertukaran pemain berjaya memberi impak segera selepas Stuart Wilkin mudah menyempurnakan sepakan penalti, untuk Malaysia kembali semula di hadapan.
Kesilapan Syihan gagal membaca arah lantunan bola hampir memberikan gol kedua untuk Laos sebelum dia berjaya menyelamat keadaan.
Skuad negara sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan sekali lagi mengasari pemain negara dalam kotak penalti.
Sergio Aguero tidak mensia-siakan peluang itu untuk meletakkan Malaysia 2 gol di hadapan Laos.
Tiga gol ini sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan Malaysia pada malam ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu menyaksikan Malaysia menang besar 5-0 ke atas Laos pada Disember 2022.
Malaysia seterusnya dijadual menentang India dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Gachibowli pada 18 November ini.