Hanya 4 Barangan Segar Catat Kenaikan Harga 10 Peratus
Hanya empat barangan segar dikesan mencatatkan kenaikan harga sehingga 10 peratus dalam tempoh Julai 2024 berbanding Jun tahun ini, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, antara barangan tersebut ialah betik biasa yang meningkat daripada RM4.48 kepada RM5.57 sekilogram (kg), udang putih dari RM36.67 ke RM42.29 satu kg, oren valencia dari RM1.24 ke RM1.43 sebiji, dan jambu batu tanpa biji dari RM9.65 ke RM10.81 satu kg.
Beliau berkata, barangan segar tersebut adalah antara 238 barang yang mengalami kenaikan harga.
“Tetapi terdapat 177 barang yang turut mengalami harga turun manakala 59 barang lagi tidak berubah harga.
“Ada 20 barangan segar yang turun harga melebihi 10 peratus antaranya, timun, kacang buncis, cili api, kubis bulat, daging kambing bebiri, limau kasturi, sawi, anggur merah, lada benggala, kacang panjang, ayam bersih, kailan, saderi, kacang botol, terung bulat, kubis bunga dan limau nipis.
“Ayam bersih turun harga dari RM9.62 kepada RM8.54 per kg,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/1154093969665850/?rdid=CrKROE5MGvu4aVJ2
Difahamkan, hantaran tersebut dibuat susulan aduan di media sosial mengenai harga barangan yang dikatakan semakin meningkat, meskipun kadar inflasi negara berada pada paras stabil di bawah dua peratus, iaitu terendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa data harga tersebut diperoleh daripada laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kata mereka, kadar inflasi itu tidak betul sebab dimanipulasi tetapi saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tak tipu saya bila mereka muktamadkan laporan inflasi setiap bulan, saya rasa kena semak juga.
“Jadi saya dapatkan laporan terperinci dari KPDN untuk menunjukkan perbandingan harga barang,” katanya.
Tambah beliau, negara memiliki sistem pelaporan harga barang yang baik dan laporan inflasi itu disokong oleh turun naik setiap harga barang yang dipantau.
“Setiap bulan, ada harga barang yang naik, ada harga barang yang turun, ada yang tidak berubah tetapi tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa inflasi kekal rendah berbanding sebelum Kerajaan Madani mengambil alih.
“Jadi kalau terjumpa orang di media sosial yang kata harga barang naik melambung dan hidup sengsara sebab harga barang naik, saya minta hantar bukti itu kepada saya.
“Supaya saya boleh bagi kepada KPDN untuk diambil tindakan kerana jelas peniaga itu mengambil kesempatan, dalam keadaan suasana inflasi keseluruhannya adalah rendah,” ujarnya.
BACA: Malaysia-Brazil Rangkul Peluang Kukuhkan Hubungan Ekonomi Dalam Industri Semikonduktor
BACA: PTPTN Catat Kejayaan BMS 2024 Kutipan Simpan SSPN Lebih 250 Juta
BACA: “Kembali Ke Sekolah”, Tunku Azizah Kini Bergelar Mahasiswi UIAM
Sumber: Sinar Harian