Semakin Gempak, Zach King Ajak Sofyank Buat Filem Sama-sama
Sofyank adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri seni video kreatif tempatan. Hasil kerjanya selama ini memang diakui berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.
Malah, pemilik nama sebenar Mohamad Sofian Abdullah itu juga pernah mendapat perhatian personaliti YouTube dan pencipta kandungan terkemuka dari Amerika Syarikat, Zach King.
Kedua-duanya yang boleh diumpamakan seperti ahli silap mata digital pernah bergabung dan menghasilkan video kreatif pendek bersama-sama sebelum ini.
Zach King ajak Sofyank hasilkan filem bersama
Terkini, Sofyank menerusi satu hantaran di Facebook mendedahkan menerima lamaran daripada Zach King untuk bekerjasama menghasilkan filem.
Tamaran itu dipercayai ditinggalkan oleh Zach King pada salah satu hantaran video kreatif yang dihasilkan oleh Softyank sebelum ini.
“Ini sangat luar biasa Sofian. Kita perlu hasilkan filem bersama-sama,” kata Zach King.
Walaupun pernah bersua dan bekerjasama sebelum ini, namun Sofyank menganggap pelawaan Zach King kali ini telah meletakkan satu impian baru yang perlu direalisasikan olehnya.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya takkan lepaskan peluang emas ini untuk menghasilkan filem pendek bersama dengan Zach King.
“Dalam saya menghasilkan kandungan-kandungan selepas ini, insya-Allah saya akan pegang impian ini dan cuba jadikan sebagai satu realiti,” kata Sofyank.
Pada masa yang sama, anak muda itu turut mengharapkan doa dan sokongan beterusan supaya lebih bersemangat menghasilkan kandungan berkualiti untuk orang ramai.
Menjadi juara pertandingan Ultimate VFX Challenge
Terdahulu, Sofyank aktif berkolaborasi dengan jenama-jenama besar untuk mempromosikan produk-produk mereka menerusi video kreatif.
Selain itu, beliau juga mencuri tumpuan apabila bekerjasama dengan beberapa artis luar negara termasuk Ryan Reynold untuk mempromosikan filem Deadpool.
Khidmat Sofyank juga pernah digunakan untuk mempromosikan filem Ant-Man dan Kang The Conqueror. Semua video yang dihasilkan oleh beliau meraih jutaan tontonan di media sosial.
Pada tahun lepas, Sofyank mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Ultimate VFX Challenge di Los Angeles.
https://www.facebook.com/sofyank96/posts/pfbid0LjYk3KopfdCz7jkWvzHTYxM6TKxRKtfck16id6WTqnEs6CSKaPhf8U7mAcVmV6RAl
BACA: Anak Panjang Akal, Ibu Terkedu Tengok Bawang Berendam ‘Elok’ Dalam Mesin Basuh
Sumber: Sofyank96 via Facebook