Juara 22 Kali Grand Slam, Rafa Nadal Umum Bersara
Pemain tenis Sepanyol, Rafa Nadal kini secara rasmi bersara daripada pentas profesional sukan tersebut selepas menamatkan saingan di Piala Davis, pada Selasa.
Menurut AFP, pemain berusia 38 tahun itu tewas dalam perlawanan pembukaan peringkat suku akhir yang menyaksikan Belanda menewaskan negaranya, 2-1 untuk mara ke separuh akhir.
Rafa Nadal yang merupakan pemenang 22 gelaran Grand Slam dan digelar Raja Tanah Liat, menikmati kerjaya gemilang dan bersejarah selama 23 tahun kariernya.
“Saya bersara dengan hati yang tenang kerana saya tinggalkan legasi yang bukan sahaja penting untuk sukan ini tetapi juga untuk diri sendiri secara peribadi,” katanya.
Dalam ucapan persaraannya di atas gelanggang di Malaga, Nada turut berkesempatan menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang banyak menyokongnya selama ini.
Antara nama yang disebut adalah bapa saudaranya, Toni Nadal yang melatihnya sejak kecil dan sebahagian besar kariernya.
Rafa Nadal diraikan dengan video montaj di Malaga
“Gelaran-gelaran yang saya miliki dan semua angka-angka, anda semua sudah tahu tentang itu. Tetapi saya ingin diingati sebagai seorang manusia yang baik yang berasal dari sebuah kampung kecil di Mallorca.
“Ketika kanak-kanak, saya sangat bertuah kerana mempunyai bapa saudara yang menjadi jurulatih tenis di kampung kami. Pada masa yang sama, keluarga juga banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.
“Jadi saya hanya ingin diingati sebagai seorang yang baik, anak kecil yang mengejar cita-citanya dan berjaya menggapai lebih daripada apa yang diimpikan,” katanya lagi.
Menurut AFP, Rafa Nadal diraikan dengan video montaj yang ditayangkan pada pelbagai skrin di arena Martin Carpena, di mana lebih 10,000 peminat menyaksikan detik kariernya berakhir.
Sedia memulakan kehidupan selepas bersara
Dalam pada itu, bekas pesaingnya seperti Roger Federer, Novak Djokovic, Andy Murray, Serena Williams dan lagenda tenis lain turut meninggalkan mesej dalam video tersebut.
Malah, bintang bola sepak Sepanyol termasuk Raul dan Andres Iniesta, yang juga bersara pada Oktober lalu turut mengutuskan ucapan yang sama.
“Saya tinggalkan dunia tenis profesional, tempat sayang bertemu dan berkenalan dengan ramai orang-orang baik selama ini,” kata Nadal.
Dalam pada itu, beliau juga berharap dapat menjadi duta yang baik kepada sukan tenis di masa depan dan tidak sabar memulakan karier baru selepas bersara.
BACA: Semakin Gempak, Zach King Ajak Sofyank Buat Filem Sama-sama
Sumber: AFP