Luar Biasa, Karya Pisang Lekat Dinding Terjual RM28 Juta
Karya seni pisang yang ditampal pada dinding dengan pita pelekat dilapor berjaya dijual pada harga $6.2 juta (kira-kira RM28 juta), lapor AFP.
Berjudul Comedian, karya seni konseptual yang dianggap sebagai provokatif oleh sesetengah pihak itu dilelong dalam satu acara bida di Sotheby’s, di New York pada 20 November lepas.
Menurut kenyataan Sothbey’s, Justin Sun yang merupakan usahawan mata wang kripto berasal dari China adalah pemenang acara bidaan tersebut.
Comedian, karya yang boleh ‘dimakan’ kali pertama dipamerkan di pameran seni Art Basel di Miami pada 2019.
Karya milik artis visual Itali, Maurizio Cattelan itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada yang mempersoalkan sama ada ia layak dianggap sebagai seni, atau sebaliknya.
Mewakili fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, karya pisang dijual pada harga RM28 juta
Sementara itu, Justin menyifatkan Comedian lebih daripada sekadar karya seni semata-mata.
“Ia bukan sekadar karya seni. Ia mewakili fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme dan komuniti mata wang kripto.
“Saya percaya karya ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak pemikiran dan perbincangan pada masa hadapan dan akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” katanya.
Menurut AFP, seramai tujuh orang pembeli berpotensi terlibat dalam bidaan berkenaan dengan harga panduan ditetapkan antara AS$1 juta sehingga AS$1.5 juta.
Mengambil kira jangka hayat pisang, Justin sebenarnya membida sijil ketulenan yang membenarkannya menghasil semula karya tersebut dengan menggunakan nama Maurizio Cattelan.
Beliau juga dibekalkan dengan arahan berkenaan cara-cara untuk menggantikan pisang tersebut apabila rosak.
Justin Sun ingin memakan hasil pelaburan
Dalam pada itu, Justin sempat berseloroh dan berkongsi rasa tidak sabarnya untuk ‘memakan’ pisang yang dibida tersebut.
“Saya akan makan pisang itu sebagai sebahagian daripada pengalaman artistik yang unik ini. Ia juga sebagai tanda menghormati tempatnya dalam sejarah seni dan budaya popular,” ujarnya.
Menurut AFP, selain Comedian, Cattelan juga terkenal kerana menghasilkan tandas emas 18 karat yang berfungsi sepenuhnya yang dipanggil ‘Amerika’.
Artis visual tersebut pernah menawarkan karya berkenaan untuk dipinjamkan kepada Donald Trump semasa penggal pertamanya di Rumah Putih.
BACA: Pegawai Kadet UPNM Didakwa Cederakan Junior, Pijak Perut Dengan Spike Boot
Sumber: AFP