Empat Beranak Terlibat Kemalangan, Tiga Dilapor Maut
Empat beranak terlibat kemalangan apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai hilang kawalan.
Dalam nahas terbabit, mangsa, Nur Ardiena Kamarudin, 30, serta ibunya, Maimunah Mat Isa, 54, dan ayahnya, Kamarudin Ibrahim, 55, disahkan meninggal dunia.
Manakala, seorang lagi ahli keluarga mangsa iaitu Nur Azwa Shamimi, 21, dilaporkan cedera parah di bahagian paha kanan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris, mengesahkan bahawa kejadian berlaku di Kilometer (KM) 53, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lereka kira-kira jam 4.50 pagi.

Ketika kejadian, kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan.
Manakala, sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, menghala ke Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux telah hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia yang dinaiki empat beranak itu,” katanya.

Tambah Mohd Zain, mayat ketiga-tiga mangsa juga telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu bagi tindakan lanjut.
“Pemandu dan penumpang Toyota Hilux berusia 24 dan 18 tahun yang mengalami kecederaan ringan juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Zain memberitahu bahawa kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
BACA: Lapan Maut Dalam Kemalangan Di Sarikei
BACA: Tiga Beranak Maut, Bayi Setahun Selamat Dalam Kemalangan Di Lebuhraya DUKE
BACA: Mangsa Dirempuh Kereta Api Hantar Anak Ke Sekolah Berjalan Kaki Setiap Hari
Sumber: Sinar Harian