Gardenia Sumbang Lebih 500,000 Unit Produk Kepada Mangsa Banjir
SHAH ALAM, 4 Disember 2024 – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) terus komited dalam menyokong komuniti yang memerlukan dengan menyumbangkan bantuan dari segi makanan kepada mangsa banjir yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Dalam usaha membantu mereka yang terkesan, Gardenia KL telah mengagihkan lebih daripada 500,000 unit produk seperti roti putih, roti krim berperisa dan juga sapuan kaya kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas seperti kawasan-kawasan di Pantai Timur, Utara serta Lembah Klang.
Sumbangan ini disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pengagihan bantuan dilakukan dengan pantas dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun, berkata “Sebagai sebuah syarikat yang dekat di hati rakyat Malaysia, kami amat bersimpati terhadap kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami untuk memastikan mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sentiasa mempunyai makanan yang sedia untuk dimakan”.
“Sumbangan bernilai lebih RM600,000 setakat ini, adalah salah satu inisiatif di bawah payung #GardeniaCares, yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Malaysia dan juga sebagai satu tanda penghargaan dari kami kepada masyarakat yang sentiasa menyokong Gardenia KL” tambah Hazlinah.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, ketika dihubungi berkata, “Kami di kementerian sentiasa menggalakkan dan menghargai sokongan daripada sektor swasta semasa bencana alam seperti ini. Bantuan dan sumbangan seperti yang diberikan oleh Gardenia KL ini amat kami hargai kerana ia dapat meringankan beban mangsa. Inisiatif oleh Gardenia KL ini benar-benar menunjukkan kerjasama sektor awam-swasta yang baik demi manfaat rakyat.”
Gardenia KL kekal komited untuk terus memainkan peranannya dalam membantu masyarakat, terutama sekali dalam situasi mencabar seperti bencana banjir. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir.