Muhammad Jadi Nama Bayi Lelaki Paling Popular Di England & Wales
Muhammad dilapor menjadi nama paling popular yang dipilih oleh ibu bapa di England dan Wales untuk menamakan bayi lelaki masing-masing pada 2023.
Menurut BBC, lebih 4,600 kanak-kanak direkodkan didaftar dengan menggunakan nama tersebut pada tahun lepas.
Berdasarkan rekod Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS), Muhammad sudah pun disenaraikan sebagai 10 nama paling popular sejak 2016 lagi.
Namun kini, Muhammad berjaya muncul sebagai nama paling popular mengatasi nama yang menjadi pilihan ibu bapa pada tahun sebelumnya, Noah.
Manakala, beberapa variasi ejaan Muhammad seperti Mohammed dan Mohammad turut berjaya memasuki senarai 100 nama paling popular di England dan Wales.
Muhammad nama bayi lelaki paling popular di England dan Wales pada 2023
Difahamkan, ONS menetapkan variasi ejaan yang berbeza sebagai nama yang berlainan sekaligus membuktikan nama tersebut sebagai antara nama yang paling popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, Olivia berjaya mengekalkan takhta sebagai nama bayi perempuan paling popular, diikuti nama Amelia dan Isla.
Kedudukan tiga teratas nama bayi perempuan paling popular di England dan Wales tidak berubah sejak 2022.
Trend menggabungkan nama keluarga ibu dan bapa dengan tanda sempang untuk menamakan bayi perempuan (Hyphenated Names) turut popular pada tahun lepas, dengan rekod sebanyak 19,140 nama didaftarkan.
Angka berkenaan melonjak daripada 12,330 nama yang didaftarkan pada tahun sebelumnya.
Manakala Lilah, Raya dan Hazel (nama bayi perempuan) dan Jax, Enzon dan Bodhi (nama bayi lelaki) pula muncul antara nama-nama baru berjaya memasuki senarai 100 teratas bagi kategori masing-masing.
Dalam pada itu, data ONS turut menunjukkan budaya pop dan selebriti terus mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menamakan bayi masing-masing.
Antara nama selebriti yang menjadi panduan ibu bapa disana termasuklah Billie Eilish, Lana Del Rey, Margot Robbie, Cillian Murphy, Miley Cyrus, Kendrick Lamar, Elton John dan Rihanna.
Selain itu, pendaftaran bayi dengan nama berdasarkan hari seperti Wednesday dan Sunday juga menunjukkan peningkatan.
ONS berkata, trend tersebut mungkin dipengaruhi oleh populariti siri popular, Wednesday yang ditayangkan di Netflix pada hujung tahun 2022.
BACA: “Beli kek hari lahir sendiri..” Pekerja Buat Kejutan Untuk “Aunty” Undang Sebak Netizen
Sumber: BBC