Kecur Air Liur, Ini Petua Buat Sambal Belacan Penuh Aroma & Menyelerakan
Sambal belacan antara hidangan yang tak boleh ditinggalkan oleh orang Melayu. Biar sampai ke negara orang, pasti merindui rasa pedas menyengat sambal belacan. Apatah lagi bila ditambah perahan limau kasturi. Sama ada makan di rumah mahupun di kedai, sambal belacan mesti ada buat penambah selera.
Walaupun nama dan bahan-bahannya serupa, tetapi yang peliknya, ada sambal belacan yang padu rasanya, ada juga yang umpama masak tak habis. Jadi bagaimana caranya untuk dapatkan rasa sambal belacan yang sekali makan memang tak dapat dilupakan ni?
Rupa-rupanya, ada beberapa petua juga untuk hasilkan sambal belacan penuh aroma ni. Mari ikuti resipi sambal belacan daripada salah seorang ahli kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini, Nurulain Insyirah.
BACA: Resipi Puding Roti Tanpa Oven, Bakar Atas Dapur Je
Seperti biasa, sediakan dulu bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sambal belacan. Untuk hasilkan sambal belacan, ia tidak serumit sambal gepuk atau penyet yang perlu dimasak.
Anda hanya perlu bersihkan enam biji limau kasturi yang dibuang bijinya, 50 gram belacan yang telah dibakar dan tiga biji cili merah dan satu biji cili hijau. Sediakan juga lapan biji cili padi hijau, 25 biji cili padi merah dan 100 mililiter air asam jawa pekat. Untuk seimbangkan rasa, sediakan sedikit gula dan garam.
Kemudian, kisar kasar kesemua bahan di atas. Sambal belacan dah siap.
Nampak macam mudah dan biasa saja resipi ini, tetapi sebenarnya ada petua yang diguna pakai Nurulain. Petua pertama ialah belacan perlu dibakar seketika sebelum dikisar bersama supaya sambal menjadi lebih beraroma.
BACA: Belajar Dari Cef, Ini Rupanya Resipi Coleslaw Yang Sedap & Menjadi
Petua kedua, gunakan asam jawa yang dibancuh dengan air suam. Petua ini bagi memastikan sambal belacan dapat bertahan dengan lebih lama.
“Petua ketiga, apabila limau kasturi yang dikisar bersama kulit dan dibuang bijinya, sambal akan menjadi lebih wangi dan sedap,” pesannya.
Petua keempat pula ialah gunakan beberapa biji cili api yang tidak dibuang tangkainya.
“Petua ini supaya tidak sakit perut makan sambal,” tambah Nurulain.
BACA: Resipi Mi Kicap, Makan Dengan Cili Potong Menambah Selera
Sumber: Nurulain Insyirah via Kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini