Siakap Keli
Amaran angin kencang laut bergelora
Gambar: BERNAMA

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga 24 Disember

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga 24 Disember

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku sehingga Selasa, 24 Disember 2024.

Amaran yang dikeluarkan pada jam 9:00 pagi, 18 Disember 2024 ini melibatkan dua kategori utama iaitu untuk perairan Malaysia dalam lingkungan 24 batu nautika dan untuk kawasan perkapalan.

Seksyen A: Perairan Malaysia (Dalam Lingkungan 24 Batu Nautika)

Bagi kawasan perairan Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama telah dikeluarkan.

Angin kencang dari arah timur laut dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan ini juga akan menyebabkan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” maklum METMalaysia.

Selain itu, paras air laut dijangka meningkat di kawasan yang sama, iaitu perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan ini berpotensi menyebabkan limpahan air laut di kawasan pesisir pantai, yang boleh menimbulkan risiko kepada penduduk setempat dan aktiviti berhampiran pantai.

Seksyen B: Kawasan Perkapalan

Untuk kawasan perkapalan, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga telah dikeluarkan.

Angin dari arah timur laut dijangka bertiup melebihi 60 kilometer sejam di kawasan perairan Condore, utara Bunguran, Reef North dan Layang-Layang.

Ombak di kawasan ini pula diramal mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata METMalaysia.

Selain itu, amaran kategori kedua melibatkan angin kencang dengan kelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter.

Kawasan yang terlibat termasuk perairan timur Samui, Tioman, selatan Bunguran, Reef South, Labuan dan Palawan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata METMalaysia lagi.

Bukan itu sahaja, amaran kategori pertama turut dikeluarkan untuk kawasan perairan barat Samui dan Sulu.

Di sini, angin kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” tambah METMalaysia.

Justeru, orang ramai terutama nelayan, pengusaha feri dan pekerja pelantar minyak dinasihatkan agar berwaspada terhadap risiko yang mungkin berlaku.

Orang ramai juga diminta untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi METMalaysia dari masa ke masa.

BACA: Honda, Nissan Dilapor Mula Bincang Untuk ‘Bersatu’

BACA: Delta Works: Benteng Banjir Terbesar Dunia

BACA: Makan Radiasi Hampir 40 tahun, Fungus Ditemui Hidup Di Lokasi Letupan Nuklear

Sumber: METMalaysia

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.