Honda, Nissan Dilapor Mula Bincang Untuk ‘Bersatu’
Dua syarikat gergasi automotif Jepun, Honda dan Nissan, dilaporkan sedang dalam perancangan untuk memulakan rundingan penyatuan syarikat, menurut laporan terkini oleh akhbar kewangan Nikkei.
Langkah ini bertujuan untuk menghadapi persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) global yang semakin mengukuh, terutamanya dari China seperti BYD dan Li Auto.
Honda dan Nissan merupakan pengeluar kenderaan kedua dan ketiga terbesar di Jepun, dengan jumlah jualan gabungan sebanyak 7.4 juta unit pada tahun 2023.
Walaupun begitu, mereka kini berdepan cabaran hebat daripada pesaing yang semakin ‘agresif’ dalam pasaran EV global.
Dalam kenyataan rasmi, jurucakap Honda mengesahkan bahawa penyatuan syarikat adalah salah satu kemungkinan yang sedang dibincangkan.
“Kami sedang meneroka pelbagai kemungkinan kerjasama di antara Honda dan Nissan dalam pelbagai bidang. Namun, tiada keputusan muktamad setakat ini,” kata jurucakap itu.
BACA: Delta Works: Benteng Banjir Terbesar Dunia
Sementara itu, Nissan turut menyatakan bahawa kandungan laporan tersebut belum diumumkan secara rasmi oleh mana-mana pihak.
Namun, kedua-dua syarikat telah memulakan usaha kolaborasi sejak beberapa bulan lalu, termasuk perjanjian pada Mac 2024 untuk membangunkan teknologi EV bersama-sama.
“Pemain baharu sangat agresif dan bergerak dengan kelajuan luar biasa. Kita tidak akan dapat bersaing jika terus bergantung pada pendekatan tradisional,” tegas Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida.
Menurut Nikkei, Honda dan Nissan sedang mempertimbangkan untuk beroperasi di bawah satu syarikat pegangan (holding company).
Bagaimanapun, perincian seperti pegangan saham masing-masing dan struktur operasi masih belum diputuskan.
Mitsubishi Motors, di mana Nissan memegang 24 peratus saham, turut dijangka akan diserap ke dalam syarikat pegangan ini.
Jika rancangan ini berjaya, ia bakal menjadi salah satu penyatuan terbesar dalam industri automotif sejak penggabungan bernilai USD52 bilion antara Fiat Chrysler dan PSA pada tahun 2021 yang membentuk Stellantis.
BACA: Makan Radiasi Hampir 40 tahun, Fungus Ditemui Hidup Di Lokasi Letupan Nuklear
Usaha penyatuan ini muncul di tengah-tengah tekanan ekonomi dan persaingan sengit dalam industri automotif global.
Banyak syarikat sedang berdepan dengan ‘kerugian’ akibat permintaan yang perlahan serta pelaburan besar untuk beralih daripada pengeluaran kenderaan petrol dan diesel kepada EV.
Sebagai contoh, Stellantis baru-baru ini mengumumkan penutupan kilang mereka di Luton, UK, yang melibatkan 1,100 pekerja.
Ford pula merancang untuk mengurangkan 4,000 pekerjaan di Eropah, manakala Volkswagen dilaporkan akan menutup tiga kilang di Jerman.
BACA: WHO Dedah Keadaan Hospital Di Utara Gaza Amat Menyedihkan
Sumber: The Guardian