Ahli Running Man Bakal Kembali Bertemu Peminat Di Malaysia
Ahli rancangan realiti terkenal Korea Selatan, Running Man bakal kembali ke Malaysia pada tahun hadapan, umum SunStrong Entertainment.
Menerusi muat naik di laman Facebook rasmi syarikat berkenaan, ahli-ahli rancangan tersebut bakal ‘berlari’ di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, Selangor pada 15 Februari 2025. Mereka dijadualkan mula beraksi pada jam 5 petang.
Enam orang ahli tetap Running Man iaitu Jee Seok Jin, Yu Jae Seok, Kim Jong Kook, HAHA, Song Ji Hyo and Yang Se Chan akan hadir di acara tersebut.
BACA: Presiden Korea Selatan Isytihar Undang-Undang Tentera
Untuk pengetahuan, ini merupakan kali pertama Yu Jae Seok dan Yang Se Chan datang ke Malaysia.
“Gaya pengacaraan mereka yang sangat mesra dan lucu, telah menawan hati penonton dan peminat. Interaksi menarik dan lawak jenaka mereka, sentiasa membawa kegembiraan kepada peminat. Kunjungan Yu Jae Seok, dan Yang Se Chan juga merupakan tarikan paling besar bagi peminat Running Man di Malaysia kali ini,” maklum syarikat tersebut.
Kemunculan ahli Running Man di Malaysia juga adalah untuk meraikan kejayaan rancangan tersebut yang telah mencapai episod ke-732 sejak rancangan itu dimulakan 14 tahun lalu.
Para peminat berpeluang berinteraksi secara bersemuka dengan mereka.
BACA:Undang-Undang Tentera Korea Selatan, Apa Yang Anda Perlu Tahu
Penjualan tiket mula dibuka pada 26 Disember, jam 12 tengah hari secara dalam talian menerusi laman my.bookmyshow.com. Para peminat juga boleh melayari laman Instagram Thousands Of Years Media bagi mendapat maklumat lanjut. Harga tiket dijual bermula dari serendah RM288 sehingga RM958.
Rancangan realiti Running Man mula ditayangkan pada 11 Julai 2010 dengan Song Joong Ki, Kang Gary, Lee Kwang Soo merupakan antara ahli asal. Dalam setiap episod, ahli Running Man akan berlumba menamatkan beberapa siri permainan bersama artis jemputan.
Imbas kembali, ahli Running Man pernah datang ke Malaysia bagi acara bertemu peminat pada 2017. Walaupun tidak semua ahli hadir namun acara itu mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan peminat di negara ini.
Sumber: SunStrong Entertainment, MyDramaList,