Bas Hilang Kawalan Lepas Terlanggar Tayar Lori Tercabut
Kemalangan di KM 204.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara yang menyebabkan tujuh orang terkorban dilaporkan berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut.
Memetik laporan Astro Awani, tayar lori itu kemudian berada di lorong tengah lebuh raya terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, siasatan awal yang dilakukan pihaknya mendapati sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang telah melanggar tayar terbabit.
Bas itu yang juga dalam perjalanan dari arah utara ke selatan telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Akibatnya, sebuah Perodua Bezza dirempuh oleh bas itu dan menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri. Ia juga melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga.
BACA: Tujuh Maut, 33 Cedera Dalam Kemalangan Di KM204 Plus Arah Utara
Ashari berkata kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rempuhan kuat terbabit.
Tambahnya lagi, mangsa yang maut adalah pemandu MPV, Khairul Izwan Mazupi, 32, dan penumpang iaitu Fadzlenna Ramli, 32, Ramli Ab Wahab, 66, Muhammad Umar, 2 dan seorang lagi yang belum dikenal pasti identitinya.
Sementara itu, dua lagi anak kepada Khairul dan Fadzlenna iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, cedera parah dan Nur Sofea Humaira, 4, cedera ringan. Mereka kini dirawat di Hospital Melaka.
Dalam pada itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Noorisnien Khamis, 56, turut maut dan seorang lagi penumpang bas yang juga masih belum dikenal pasti identitinya juga terkorban dalam kemalangan itu.
Mayat mangsa akan melalui proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Melaka. Manakala, kenderaan- kenderaan yang terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspaskom) untuk pemeriksaan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kemalangan yang berlaku pada jam 8.40 malam itu turut menyebabkan 33 mangsa lain cedera.
Ketika kejadian, lori dan bas dalam perjalanan dari utara ke selatan, sementara tiga lagi kenderaan berada di arah bertentangan.
Sumber: Astro Awani